Sejauh mana Najib yakin sokongan 1.6 juta penjawat awam, soal Kit Siang


Bede Hong

PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri Najib Razak berpura-pura yakin apabila mendakwa kerajaan pemerintah masih mempunyai sokongan daripada perkhidmatan awam.

Malam tadi, Najib memberitahu semua ketua Umno bahagian di Seri Perdana yang sebahagian besar daripada 1.6 juta penjawat awam menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Bila dan berapa lama Najib dan pemerintah BN kehilangan sokongan majoriti 1.6 juta penjawat awam?” Lim berkata dalam satu kenyataan hari ini.

“Najib berpura-pura yakin kerana tiga sebab. Najib sudah kehilangan sokongan majoriti orang Melayu di negara ini. Beliau hilang sokongan majoriti daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

“Tidak pernah sebelum ini dalam sejarah Umno, mempunyai presiden seperti Najib yang kehilangan sokongan peratusan ahli Umno lebih tinggi - dan kita bercakap mengenai 3.5 juta keahlian,” kata Lim.

Lim menambah, serangan ke atas pemimpin Pakatan Harapan (PH) kini sudah sampai ke tahap paling teruk apabila pembantu perdana menteri merujuk Dr Mahathir Mohamad sebagai pengikut setia DAP.

Pembantu Najib, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad mengkritik Dr Mahathir sebagai “top dog” PH dan realitinya dikawal oleh Kit Siang.

“Selepas 52 tahun dalam politik, saya fikir tiada propaganda yang menyinggung perasaan dan pembohongan akan mengejutkan saya lagi tetapi saya silap,” kata Lim, menyifatkan serangan itu “keji” dan “sangat terdesak”.

Pemimpin DAP veteran itu berkata beliau sudah berhadapan dengan enam perdana menteri - Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib - tetapi berkata beliau tidak pernah membuat serangan peribadi yang menghina dan sentiasa menghormati mereka.

“Istilah ‘top dog’ seharusnya tidak boleh diterima langsung dalam politik Malaysia untuk menyamakan dengan haiwan apabila membuat serangan peribadi kepada lawan politik, terutama bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah negara.”

“Ini adalah satu gambaran yang menyedihkan ke atas Najib sendiri,” tambah ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Lim berkata, walaupun di sebalik segala usaha dan perbelanjaan luar biasa untuk menunjukkan Najib sebagai pemimpin dunia yang dihormati, skandal 1MDB tetap membelenggunya. 

Bulan lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivilnya yang ketiga, menuntut aset berkaitan 1MDB berjumlah AS$1.7 bilion. Menurut agensi penguatkuasaan dari AS, UK dan Switzerland wang yang dipercayai dicuri daripada 1MDB kini melebihi AS$4.5 bilion.

Minggu lepas, seorang pegawai bank dan perancang kekayaan dengan BSI Singapura, Yeo Jiawei dipenjarakan kerana melakukan penyelewengan dan penggubahan haram wang 1MDB.

Pendakwa Singapura juga mendakwa kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) dana 1MDB bertujuan untuk usaha sama dengan Petro Saudi International Ltd disalurkan ke akaun bank ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, atau Jho Low.  – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen