NAJIB Razak dengan penuh yakin memberitahu ketua bahagian Umno malam tadi yang majoriti daripada 1.6 juta penjawat awam kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), setahun sebelum beliau perlu mengadakan pilihan raya umum (PRU).
Presiden Umno itu juga mengucapkan terima kasih kepada ketua bahagian atas sokongan mereka yang terus memastikan beliau memegang jawatan dan kedudukannya, kata sumber yang turut hadir pada mesyuarat Umno di Seri Perdana kepada The Malaysian Insight.
“Penjawat awam kembali menyokong BN,” kata sumber memetik Najib sebagai berkata pada mesyuarat itu, dan perdana menteri turut mengemas kini maklumat menjelang persidangan Parlimen Isnin depan.
Penjawat awam di Malaysia antara kumpulan besar, di mana terdapat seorang penjawat awam bagi setiap 19 rakyat, maka penting bagi BN memegangnya terutama selepas gabungan kerajaan hilang undi popular pada PRU 2013.
Kerajaan BN baru-baru ini melanjutkan tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara walaupun Majlis Peguam Malaysia mengkritik tindakan itu.
Difahamkan khidmat Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar juga akan dilanjutkan apabila kontraknya akan tamat penghujung tahun ini, bagi memastikan kesinambungan sebelum PRU diadakan.
Najib menerima taklimat mengenai sokongan penjawat awam yang semakin bertambah pada satu mesyuarat yang diadakan di pusat latihan Umno di Janda Baik, dua minggu lalu, kata seorang lagi sumber.
“Mesyuarat di Janda Baik diadakan untuk meneroka cara memastikan penjawat awam kembali menyokong dan apa yang boleh dibuat jika mereka tidak mengundi kerajaan,” kata sumber.
Pemimpin BN sering mengingatkan penjawat awam untuk menyokong kerajaan yang kerap memberi bonus dan insentif yang dilihat sebagai gula-gula politik.
Pada Mac, Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa berkata penjawat awam tidak sepatutnya mengkhianati siapa yang memberi mereka makan, dan memberi amaran supaya tidak terpengaruh dengan penipuan berkaitan kerajaan.
Sumber lain yang turut hadir pada mesyuarat itu berkata Najib memberitahu orang kuat Umno yang mereka menentukan kedudukannya dalam parti.
“Beliau mengakui sokongan mereka yang menyebabkan beliau masih di atas,” kata sumber, menambah ia pengiktirafan terhadap sokongan berterusan diterimanya walaupun pembangkang sering mengkritik pencapaian Najib dan skandal 1MDB.
Najib kekal memegang kuasa walaupun skandal itu semakin besar hingga membawa kepada sabitan di Singapura, siasatan di beberapa negara mendedahkan pembelian barangan mewah dan wang diselewengkan daripada 1MDB serta akaun lain ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu.
Beliau menafikan sebarang salah laku, berkata beliau sudah dibebaskan oleh peguam negara dan siasatan terhadap skandal itu masih diteruskan. – 20 Julai, 2017.
Komen