Bertanding jawatan mana? Azmin kata belum putuskan


Melati A. Jalil

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau terlalu sibuk dengan tugas sebagai menteri hal ehwal ekonomi dan belum dapat membuat keputusan untuk bertanding dalam pemilihan PKR pada September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018.

Cakap-cakap tentang pertembungan Rafizi Ramli-Azmin Ali dalam merebut kedudukan timbalan presiden sudah mula timbul namun penyandangnya masih enggan menyatakan jawatan mana yang akan ditandingi.

Azmin yang diramalkan akan mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden berkata beliau masih sibuk dengan tugas-tugas baharunya sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

“Saya belum buat keputusan lagi kerana terlalu sibuk dengan tugas baharu,” kata ahli Parlimen Gombak itu kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya sama ada beliau memutuskan untuk bertanding jawatan presiden atau tidak.

Pemilihan parti dijadualkan pada September.

Jika Azmin memberi laluan kepada Anwar, khabar angin mengatakan beliau akan berdepan cabaran daripada Naib Presiden PKR Rafizi bagi merebut jawatan nombor dua. Rafizi mendapat sokongan kira-kira 30 perwakilan dan pemimpin akar umbi.

Mereka yang ditemu bual oleh The Malaysian Insight berkata mereka merasakan bekas ahli Parlimen Pandan itu mewakili “semangat reformasi” dan percaya beliau layak memimpin parti kerana sumbangannya kepada kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14.

Bagaimanapun, Rafizi masih belum mendedahkan sama ada akan mempertahankan jawatannya sekarang atau mencabar Azmin yang juga penyandang jawatan timbalan presiden. – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • siapapun yang akan pegang jawatan timbalan presiden haruslah terima dengan rela hati dan menjalankan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin untuk kepentingan negara dan rakyat

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan