Bukan adik beradik, PAS kata tak akan tolong Umno


Yasmin Ramlan

Dalam PRU14, calon PAS di DUN Sg Kandis, Mohd Yusof Abdullah menerima 7,500 undi berbanding calon Umno, Kamaruzzaman Johari lebih 11,500 undi. Dalam PRK ini, PAS tidak meletakkan calon. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018.

PAS menangkis sindiran Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa parti Islam itu bersikap seperti adik-beradik dengan Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Timbalan presiden PAS Tuan Ibrahin Tuan Man menegaskan, parti Islam itu tidak akan membantu Umno walau tidak bertanding dalam PRK tersebut.

“Keputusan parti ini ialah satu keputusan yang kita buat berdasarkan laporan daripada situasi demografi pengundi di Sungai Kandis, dan keputusan kita tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“PAS bebas untuk turun ke mana-mana pilihan raya kecil, jentera kita buat kerja untuk parti kita saja,” katanya pada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan menyifatkan PAS bersikap seperti adik-beradik dengan Umno kerana tidak meletakkan calon untuk bertanding di situ.

Dalam pilihan raya umum pada 9 Mei, calon PAS Mohd Yusof Abdullah hanya mendapat kira-kira 7,500 undi berbanding calon Umno, Kamaruzzaman Johari yang memperoleh lebih 11,500 undi.

Penyandangnya Shuhaimi Shafiei daripada PKR memenangi kerusi tersebut dengan majoriti hampir 12,500 undi.

Shuhaimi meninggal dunia pada 2 Julai lalu, yang membawa kepada pilihan raya kecil kali ini.

Calon muka baharu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan bertanding mewakil Pakatan Harapan, menentang calon BN Lokman Noor Adam dan calon Bebas M Krishnasamy.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian. – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • daripada dulu lagi pas agak rapat dengan UMNO apapun harap semua parti dapat bersaing secra sihat dan terima dengan hati terbuka siapapun yang rakyat pilih

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan