CALON Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Lokman Noor Adam mengakui yang parti pembangkang berdepan cabaran besar untuk merampas kerusi itu daripada PKR, mengharapkan 71% pengundi Melayu di situ untuk mengalihkan undi mereka kepadanya.
Katanya, sukar untuk Umno menang dalam kawasan itu walaupun menggabungkan undi yang diraih Umno dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Kerana itulah kita perlu pastikan semua pengundi balik dan turun mengundi,” katanya kepada hampir 50 ahli Umno yang berkumpul di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Andalas malam tadi.
Pada pilihan raya 9 Mei lalu, Shuhaimi Shafie yang meninggal dunia pada 2 Julai lalu kerana kanser lymphoma mendapat undi lebih banyak daripada gabungan undi Umno dan PAS.
Beliau meraih 23,998 undi untuk menang dengan majoriti 12,480. Kamaruzzaman Johari (BN) pula meraih 11,518 undi, Yusof Abdullah (PAS) mendapat 7,573 undi. Manakala, Hanafiah Nusin (PRM) hanya meraih 76 undi daripada 50,800 undi kawasan itu.
“Rakyat akan menggunakan pilihan raya kecil ini sebagai platform untuk menghukum Pakatan Harapan kerana mengamalkan politik balas dendam dan kerana mereka menipu rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum itu dalam ucapannya, Lokman menggunakan sentiment politik kaum dan agama, mendakwa antara lain, yang pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara akan mengancam Islam dan wujud cubaan untuk menghapuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kerajaan Pakatan Harapan sudah menafikan yang institutsi Islam itu akan dibubarkan.
“Ini adalah misi mustahil kerana sebelum ini mereka (PKR) menang kerana mereka bergantung kepada fitnah.
Lokman adalah salah seorang penceramah Umno yang popular dan sering menyerang PH. Kebelakangan ini, beliau muncul sebagai pembela bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno Najib Razak yang kini berdepan kes mahkamah kerana salah guna kuasa dan pecah amanah SRC International yang ada kaitan dengan skandal kewangan rentas negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selepas BN kalah PRU14, Lokman membentuk kumpulan Pemantau Malaysia Baru (Pemantau) yang didakwa akan jadi pemantau kerajaan baharu.
PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman, Zawawi Ahmad Mughni (PKR) dan calon bebas, K Murthy.
Sungai Kandis adalah hasil persempadan semula dilakukan sebelum PRU14, kawasan itu sebelum ini dikenali sebagai Seri Andalas.
Kawasan itu sebelum ini adalah kawasan pengundi pelbagai kaum mempunyai 51,230 pengundi berdaftar terdiri daripada 51,217 pengundi dalam negara dan 13 pengundi luar negara.
Daripada jumlah pengundi berdaftar, 24,998 adalah lelaki (48.8%) dan 26,232 adalah wanita (51.2%).
Mengikut pecahan kaum pula, 71.34% adalah pengundi Melayu, 15.69% (India) dan 11.75% (Cina).
Pengundian akan berlaku pada 4 Ogos depan. – 23 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan