DALAM manifestonya, kerajaan baharu ada matlamat murni untuk meningkatkan kualiti kehidupan pekerja warga Malaysia dan menyelesaikan masalah pekerja asing tanpa izin.
Tetapi ia kini berdepan risiko gagal mencapai matlamat ini kerana terlalu memberi tumpuan kepada pembersihan pekerja asing tanpa izin, kata kumpulan hak asasi pekerja asing, North-South Initiative (NSI).
Ini adalah kerana kempen terhadap pekerja asing tanpa izin adalah penyelesaian mundur terhadap masalah tersebut dan tidak terus terhadap punca sebenar masalah, kata Pengarah Eksekutif NSI Adrian Pereira.
Kedua adalah industri pembekalan pekerja asing yang bernilai berbilion ringgit dicemari dengan pegawai yang korup dan mereka yang ada hubungan dengan politikus BN yang mengeksploitasi pekerja asing.
Ketiga adalah kekurangan perlindungan sosial dan kebajikan untuk semua pekerja- warga Malaysia dan asing- yang membentuk ruang eksploitasi pekerja tanpa izin.
“Pertamanya, kerajaan perlu keluarkan jumlah tenaga kerja yang tepat diperlukan ekonomi dan sama ada keperluan ini boleh dipenuhi dengan pekerja tempatan dan apa yang boleh dipenuhi pekerja asing,” kata Pereira.
“Jika anda terus tahan dan hantar pekerja asing balik (ke negara asal mereka), beberapa bulan nanti, majikan akan mengadu mereka tak cukup pekerja,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight.
“Kemudian apa yang anda buat? Anda mula balik proses pengambilan pekerja asing yang hanya memburukkan masalah. Serbuan berterusan tidak ada asas moral dan ekonomi. Ia sepatutnya jadi pilihan terakhir untuk tangani isu ini.”

Industri bergantung kepada pekerja asing
Dalam manifestonya, PH berjanji akan mengurangkan jumlah pekerja asing secara berkala dalam usaha memperkasa pekerja warga Malaysia dan membentuk sejuta pekerjaan berkualiti.
Selepas berkuasa, PH meneruskan dasar pembersihan besar-besaran pekerja asing tanpa izin BN bermula Januari lalu. Sehingga 7 Julai, 22,126 pekerja ditahan kerana pelbagai kesalahan. Turut ditahan adalah 585 majikan.
Tetapi kumpulan hak pekerja dan politikus mengecam cara kasar serbuan dilakukan apabila pekerja asing sah juga “digari dan ditanda seperti binatang.”
Menurut kajian pada 2017 melibatkan NSI, dianggarkan enam juta pekerja asing berada dalam negara tetapi hanya 32% atau 1.9 juta pekerja asing mempunyai dokumen kerja sah.
Walaupun yang lain tidak mempunyai dokumen sah, mereka “menyumbang secara signifikan terhadap ekonomi,” kata kajian itu.
“Industri penting menjadi sangat bergantung kepada pekerja asing tanpa izin yang tanpa mereka, industri ini akan lumpuh,” kata kajian dilakukan Migrant Workers Right to Redress Coalition.
Gabungan ini terdiri daripada NSI, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia, Tenaganita, Penang Stop Human Trafficking Campaign dan Persatuan Sahabat Wanita Selangor.
“Orang tempatan tak mahu kerja ini terutama dalam ladang kelapa sawit,” kata Aliasak.
Ladang kecil, perniagaan makanan dan kontraktor adalah jenis perniagaan kecil yang banyak menggaji pekerja asing tanpa izin, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Perniagaan kecil adalah jenis perniagaan yang mempunyai kurang 10 pekerja tetapi ia membentuk 73% daripada perniagaan kecil dan sederhana (SME) negara.

Rakyat Malaysia akan buat kerja 3D, jika
Masalah sebenar bukanlah pekerjaan itu tetapi persekitaran kerja, kata Pereira.
“Mitosnya adalah rakyat Malaysia tak mahu kerja yang merbahaya, sukar dan kotor (3D). Tetapi realitinya mereka bersedia pergi ke UK, Australia, Korea dan Singapura untuk buat kerja ini di sana.”
Bezanya adalah gaji dan persekitaran kerja yang dianggap rakyat Malaysia lebih baik di sana berbanding di negara sendiri.
“Perniagaan di Malaysia cenderung untuk memperhambakan pekerja, bayar mereka rendah dan buat mereka kerja sampai 16 jam. Orang tempatan tak akan buat, tetapi pekerja asing tanpa izin akan buat,” kata Pereira lagi.
Permintaan ini kemudiannya akan dipenuhi oleh ejen tenaga kerja swasta yang meraih untung menerusi kontrak kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing, kata Pereira.
Ada ejen pekerjaan yang bersekongkol dengan pegawai sempadan yang korup untuk membolehkan pekerja asing masuk dan bekerja tanpa izin, katanya lagi.
“Selalu sangat pekerja asing ditipu yang mereka datang ke Malaysia dengan pas lawatan sosial dan memohon dokumen sah sebaik sampai di sini.
“Tetapi anda hanya boleh tengok tindakan hanya diambil kepada pekerja asing yang sebenarnya mangsa, tetapi ejen terlepas bebas. (Tindakan) Kerajaan sekarang hanya tangani simptom bukan masalah (punca).”
Apabila politikus dan kroni ejen pekerja mereka ada kepentingan meraih untung daripada pekerja asing, tidak banyak insentif wujud untuk membentuk dasar mengurangkan jumlah pekerja asing, katanya.
“Anda perlu bentuk persekitaran kerja yang baik yang melayan pekerja Malaysia dan asing secara adil. Barulah ada insentif untuk orang tempatan bekerja (dalam sektor 3D),” kata Pereira.
Keperluan tenaga kerja yang tidak dapat dipenuhi boleh diisi dengan pekerja asing sah oleh kerajaan, katanya menambah, yang ejen pembekal pekerja asing tidak lagi boleh dibenarkan wujud.
“Hanya ketika itu kita boleh fikirkan tentang serbuan.” – 23 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan