Seperti BN, dasar pekerja asing Pakatan berdepan risiko gagal


Sheridan Mahavera

Tidak ada kajian menyeluruh yang tepat dan telus untuk isu pekerja asing dilakukan kerajaan dahulu dan sekarang, tindakan menahan pekerja asing hanya akan berdepan kegagalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Julai, 2018.

DALAM manifestonya, kerajaan baharu ada matlamat murni untuk meningkatkan kualiti kehidupan pekerja warga Malaysia dan menyelesaikan masalah pekerja asing tanpa izin.

Tetapi ia kini berdepan risiko gagal mencapai matlamat ini kerana terlalu memberi tumpuan kepada pembersihan pekerja asing tanpa izin, kata kumpulan hak asasi pekerja asing, North-South Initiative (NSI).

Ini adalah kerana kempen terhadap pekerja asing tanpa izin adalah penyelesaian mundur terhadap masalah tersebut dan tidak terus terhadap punca sebenar masalah, kata Pengarah Eksekutif NSI Adrian Pereira.

Salah satu punca sebenar adalah keperluan tenaga kerja Malaysia tidak dikaji dengan telus dan tepat oleh pentadbiran Barisan Nasional terdahulu untuk mengetahui jumlah sebenar pekerja asing yang diperlukan di Malaysia.

Kedua adalah industri pembekalan pekerja asing yang bernilai berbilion ringgit dicemari dengan pegawai yang korup dan mereka yang ada hubungan dengan politikus BN yang mengeksploitasi pekerja asing.

Ketiga adalah kekurangan perlindungan sosial dan kebajikan untuk semua pekerja- warga Malaysia dan asing- yang membentuk ruang eksploitasi pekerja tanpa izin.

“Pertamanya, kerajaan perlu keluarkan jumlah tenaga kerja yang tepat diperlukan ekonomi dan sama ada keperluan ini boleh dipenuhi dengan pekerja tempatan dan apa yang boleh dipenuhi pekerja asing,” kata Pereira.

Tanpa gambaran menyeluruh yang tepat, pentadbiran PH berdepan risiko mengulangi kesilapan sama pentadbiran BN jika meneruskan pembersihan pekerja asing seperti mana sekarang.

“Jika anda terus tahan dan hantar pekerja asing balik (ke negara asal mereka), beberapa bulan nanti, majikan akan mengadu mereka tak cukup pekerja,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight.

“Kemudian apa yang anda buat? Anda mula balik proses pengambilan pekerja asing yang hanya memburukkan masalah. Serbuan berterusan tidak ada asas moral dan ekonomi. Ia sepatutnya jadi pilihan terakhir untuk tangani isu ini.”

Ramai pekerja asing tanpa izin jadi mangsa penipuan ejen yang mendapat sokongan politikus yang mengambil kesempatan atas kelemahan dasar kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Julai, 2018.

Industri bergantung kepada pekerja asing

Dalam manifestonya, PH berjanji akan mengurangkan jumlah pekerja asing secara berkala dalam usaha memperkasa pekerja warga Malaysia dan membentuk sejuta pekerjaan berkualiti.

Selepas berkuasa, PH meneruskan dasar pembersihan besar-besaran pekerja asing tanpa izin BN bermula Januari lalu. Sehingga 7 Julai, 22,126 pekerja ditahan kerana pelbagai kesalahan. Turut ditahan adalah 585 majikan.

Tetapi kumpulan hak pekerja dan politikus mengecam cara kasar serbuan dilakukan apabila pekerja asing sah juga “digari dan ditanda seperti binatang.”

Menurut kajian pada 2017 melibatkan NSI, dianggarkan enam juta pekerja asing berada dalam negara tetapi hanya 32% atau 1.9 juta pekerja asing mempunyai dokumen kerja sah.

Walaupun yang lain tidak mempunyai dokumen sah, mereka “menyumbang secara signifikan terhadap ekonomi,” kata kajian itu.

“Industri penting menjadi sangat bergantung kepada pekerja asing tanpa izin yang tanpa mereka, industri ini akan lumpuh,” kata kajian dilakukan Migrant Workers Right to Redress Coalition.

Gabungan ini terdiri daripada NSI, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia, Tenaganita, Penang Stop Human Trafficking Campaign dan Persatuan Sahabat Wanita Selangor.   

Sektor perladangan dan pertanian adalah salah satu industri yang bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing, kata Presiden Persatuan Pekebun Kecil Nasional Aliasak Ambia.

“Orang tempatan tak mahu kerja ini terutama dalam ladang kelapa sawit,” kata Aliasak.

Ladang kecil, perniagaan makanan dan kontraktor adalah jenis perniagaan kecil yang banyak menggaji pekerja asing tanpa izin, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Perniagaan kecil adalah jenis perniagaan yang mempunyai kurang 10 pekerja tetapi ia membentuk 73% daripada perniagaan kecil dan sederhana (SME) negara.

Rakyat Malaysia akan bekerja dalam sektor 3D jika kerajaan membetulkan persekitaran dan faedah diterima pekerja sektor ini. Jika selepas ini dilakukan, kekosongan masih ada, barulah pekerja asing diambil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2018.

Rakyat Malaysia akan buat kerja 3D, jika

Masalah sebenar bukanlah pekerjaan itu tetapi persekitaran kerja, kata Pereira.

“Mitosnya adalah rakyat Malaysia tak mahu kerja yang merbahaya, sukar dan kotor (3D). Tetapi realitinya mereka bersedia pergi ke UK, Australia, Korea dan Singapura untuk buat kerja ini di sana.”

Bezanya adalah gaji dan persekitaran kerja yang dianggap rakyat Malaysia lebih baik di sana berbanding di negara sendiri.

“Perniagaan di Malaysia cenderung untuk memperhambakan pekerja, bayar mereka rendah dan buat mereka kerja sampai 16 jam. Orang tempatan tak akan buat, tetapi pekerja asing tanpa izin akan buat,” kata Pereira lagi.

Selagi mana kerajaan tidak melaksanakan undang-undang buruh ke atas semua perniagaan Malaysia, terutama SME dan perusahaan mikro, tidak ada insentif untuk warga Malaysia bekerja di sana dan permintaan pekerja asing akan terus wujud.

Permintaan ini kemudiannya akan dipenuhi oleh ejen tenaga kerja swasta yang meraih untung menerusi kontrak kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing, kata Pereira.

Ada ejen pekerjaan yang bersekongkol dengan pegawai sempadan yang korup untuk membolehkan pekerja asing masuk dan bekerja tanpa izin, katanya lagi.

“Selalu sangat pekerja asing ditipu yang mereka datang ke Malaysia dengan pas lawatan sosial dan memohon dokumen sah sebaik sampai di sini.

“Tetapi anda hanya boleh tengok tindakan hanya diambil kepada pekerja asing yang sebenarnya mangsa, tetapi ejen terlepas bebas. (Tindakan) Kerajaan sekarang hanya tangani simptom bukan masalah (punca).”

Apabila politikus dan kroni ejen pekerja mereka ada kepentingan meraih untung daripada pekerja asing, tidak banyak insentif wujud untuk membentuk dasar mengurangkan jumlah pekerja asing, katanya.

Untuk mengatasi salah guna sistem pengambilan pekerja asing, hanya Kementerian Sumber Manusia boleh dibenarkan melakukan proses pengambilan pekerja asing, menggunakan sistem khas untuk memenuhi keperluan sebenar tenaga kerja diperlukan ekonomi negara.

“Anda perlu bentuk persekitaran kerja yang baik yang melayan pekerja Malaysia dan asing secara adil. Barulah ada insentif untuk orang tempatan bekerja (dalam sektor 3D),” kata Pereira.

Keperluan tenaga kerja yang tidak dapat dipenuhi boleh diisi dengan pekerja asing sah oleh kerajaan, katanya menambah, yang ejen pembekal pekerja asing tidak lagi boleh dibenarkan wujud.

“Hanya ketika itu kita boleh fikirkan tentang serbuan.” – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sememangnya agak sukar untuk mengawal kemasukan pekerja asing di negara kita akibat daripada peningkatan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan

  • Sememangnya agak sukar untuk mengawal kemasukan pekerja asing di negara kita akibat daripada peningkatan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan