IA bermaksud rahmat untuk seluruh alam. Satu tagline Islam yang mampu mencipta negara yang berpaksi pada Al-Quran dan hadis. Lebih hebat, pada masa sama konsep ini bersifat adil secara kemanusiaan dan progresif secara ketamadunan.
Ini tafsiran kesimpulan terhadap penjelasan Menteri Agama Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa setelah sejam mendengar jawapan-jawapannya terhadap pelbagai isu semasa.
Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), 10 janji utama diletakkan sebagai agenda 100 hari. Namun, keutamaan yang ke-11 yang akan menjadi nadi kerajaan ialah: “Mukadimah negara ini akan berasaskan kepada negara yang ditadbir melalui pendekatan Islam rahmatan lil alamin”.
Dr Mujahid menjelaskan isu ini dalam sesi 60 minit bersama Finaz Yunus ketika menjadi tamu program Analisis yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah baru-baru ini.
Empat isu besar dalam tempoh 48 jam baru-baru ini, menyeret debat umum mengenai Islam sepanjang minggu lalu. Ini menjadikan Dr Mujahid sebagai fokus utama dalam Kabinet PH pada minggu kelapan pembentukan kerajaan.
Antaranya, isu pengumuman kemenangan ajaran Ahmadiah di Mahkamah Tinggi. Keputusan hakim yang memutuskan Mahkamah Syariah tiada hak membicarakan pengikut ajaran itu mencetuskan rasa panik di kalangan 17 juta umat Islam.
“Umat Islam keliru antara sesat dan terkeluar daripada Islam,” kata Dr Mujahid.
Asasnya mahkamah berpegang pada keputusan Majlis Fatwa Selangor yang mewartakan Ahmadiah atau Qadiani terkeluar daripada Islam. Ini fatwa 1998 pindaan 2000. Itu local standi yang diguna pakai oleh penghakiman.
Menurut Dr Mujahid, mahkamah melihat pada konsep terkeluar daripada Islam bererti sudah tidak layak dibicarakan di Mahkamah Syariah yang bidang kuasanya tertakluk hanya pada umat Islam.
Memang ada kekeliruan, akui beliau: “Tapi keputusan ini memberikan pencerahan kepada umat Islam. Qadiani bukan Islam. Jadi sesiapa yang menyedari sesuatu ilmu itu ia berkaitan fahaman Qadiani, tarik brek dan jangan ikut!”
Ajaran Qadiani menurut Dr. Mujahid, mencetuskan keraguan kerana antara dakwaannya, kedudukan pengasas ajaran berasal dari India itu, Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi akhir zaman.
Fiqh Malaysia
Dalam sesi temu bual itu, Dr Mujahid jelas lebih cenderung untuk membawa persoalan terarah ke isu yang lebih prominan dan signifikan. Terutama, soal menterjemahkan Janji 11 Manifesto PH berhubung rahmatan lil alamin sebagai teras pentadbiran Islam.
“Kita mahu wujudkan Fiqh Malaysia. Kaedah pengurusan Islam dalam konteks negara ini. Islam yang berteraskan Maqasid Syariah dengan menjaga keseluruhan rakyat pelbagai bangsa,” katanya.
“Apa yang YB maksudkan Fiqh Malaysia?” Soal Finaz.
“Islam mesti beracukan keadaan di negara kita. Kita sudah lama mengikut kaedah orang lain. Kita sebenarnya mampu mencipta kaedah pentadbiran cara kita. Malah, membuktikan pada dunia, Islam cara Malaysia adalah contoh terbaik.”
Hak minoriti
“Islam mempunyai kaedah menyeluruh dalam pentadbirannya termasuk isu hak asasi. Namun, hak asasi berasaskan wahyu mesti berpegang pada fitrah dan norma kehidupan manusia,” kata Dr Mujahid.
Bercakap soal hak asasi, lateralnya ia akan dirujuk dalam nilai Barat. Namun, dalam Islam hak asasi mesti berpegang pada wahyu. Pada nilai-nilai fitrah manusia itu sendiri. Apabila diamalkan, ia tidak menimbulkan kemudaratan dan merosakkan fitrah dan nilai kehidupan.
“Hak asasi manusia mesti dipandu nilai syariat Islam dan percanggahan dengan fitrah akan menimbulkan kerosakan pada masyarakat,” katanya.
Namun, jelas Dr Mujahid, atas apa juga alasan, golongan seperti LBGT mempunyai hak untuk tidak disakiti, dizalimi dan mempunyai hak dalam undang-undang sivil. Justeru, perkara ini perlu dihormati kerana ia undang-undang dan proses keadilan mahkamah.
“Bagi kita, mendidik dan mendekati mereka lebih baik dan perlu dilakukan secara berhemah. Golongan ini memerlukan bimbingan. Isu ini memerlukan penyelesaian secara klinikal,” katanya.
Jakim, kata Dr Mujahid, banyak menganjurkan program pemulihan bagi golongan kecelaruan identiti. – 22 Julai, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan