Dasar luar Putrajaya bakal iktiraf hak golongan LGBT


Nabihah Hamid Sheridan Mahavera

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki gesa Putrajaya nyata pendirian tegas berkenaan LGBT, ketika hadir forum Masa Depan Islam di Bawah Pakatan Harapan di Shah Alam, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Julai, 2018.

PUTRAJAYA perlu menyatakan pendirian mengenai hak golongan Lesbian Gay Biseksual dan Trangenders (LGBT), gesa Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dr Asyraf berkata kenyataan Menteri Luar Saifuddin Abdullah yang mahu meratifikasi beberapa konvensyen hak asasi manusia antarabangsa sebelum ini akan secara langsung memberikan pengiktirafan kepada kaum itu.

“Kerajaan kena ada satu pendirian jelas untuk tolak LGBT. Mereka akan meratifikasi beberapa konvensyen. Sebenarnya usaha untuk meratifikasikan bukanlah baru, ini berlaku sejak zaman BN lagi.

Tetapi kerajaan (BN) amat bertegas kerana kita harus terima apabila kita ratifikasi konvensyen antarabangsa ini. Ia mengganggu gugat struktur adat budaya, apatah lagi asas-asas dalam perlembagaan.

“Contohnya dalam konvensyen ICCPR, jika kita iktiraf dan dengan secara rasminya kita dikehendaki untuk mengiktiraf hak LGBTQ yang ada di peringkat antarabangsa dan negara,” kata bekas timbalan menteri agama itu pada forum “Masa Depan Islam di Bawah Pakatan Harapan (PH)” di Shah Alam, semalam.

Forum anjuran NGO Ikram itu turut menampilkan wakil PAS Dr Zuhdi Marzuki dan Ahmad Awang yang merupakan penasihat umum Amanah dan dihadiri hampir 100 hadirin.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan Ingin menandatangani enam lagi konvensyen hak asasi manusia yang belum ditandatangani Malaysia.

Konvensyen yang masih belum diratifikasi Malaysia adalah antarabangsa Konvensyen Antarabangsa Menentang Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen Antarabangsa Perjanjian Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Bagaimanapun, pemimpin PH Dr Abdul Aziz Bari berkata kerajaan tidak perlu menyatakan pendirian kerana ia bukan sebahagian daripada manifesto.

Adun Tebing itu berkata mana-mana kenyataan pimpinan PH yang menyokong LGBT adalah atas kapasiti peribadi.

“Itu pandangan peribadi. Mereka tidak mewakili kerajaan,” kata exco Perak itu.

Dr Aziz merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Klang Charles Santiango dan Lim Yi Wei menyatakan sokongan mereka terhadap bekas pegawai media Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Numan Afifi yang dicemuh kerana pernah memperjuangkan hak LGBT.

Numan, meletakkan jawatan selepas desakan kuat pengguna media sosial sehingga mewujudkan kempen anti-LGBT. 

Meskipun dikritik pelbagai NGO dan pemimpin Islam lain yang tegas menentang LGBT, PH masih tidak menyatakan pendirian rasmi mengenai golongan itu.

Dr Asyraf yang merasakan kebimbangan mengajak kerajaan bersama-sama Umno dan PAS menentang LGBT.

“Kenapa susah sangat nak nyatakan pendirian? Nyatakan kamu (kerajaan) bersama kita menentang golongan LGBT,” katanya. – 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • semoga keputusan yang akan dibuat dapat menyelesaikan dan memuaskan semua pihak

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan