LOKMAN Adam sedar, walaupun menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, ia tidak akan merubah tampuk pemerintah kerajaan Selangor, namun beliau percaya dirinya adalah orang yang paling layak untuk menjadi ejen semak dan imbang dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya sebagai tidak berpengalaman.
“Tidak seperti bekas menteri besar, Mohamed Azmin Ali, menteri besar baharu Amiruddin Shaari tiada pengalaman. Oleh itu, beliau tidak boleh menyelesaikan masalah negeri dengan baik,” kata Lokman dalam satu dialog yang disiarkan UmnoOnline secara langsung di Facebook, malam ini.
Beliau berkata BN sebelum ini tidak diwakili oleh wakil rakyat yang betul untuk menjadi semak dan imbang dalam kerajaan negeri PH itu.
“Walaupun Selangor adalah negeri membangun, masih terdapat banyak kelemahan. Tetapi kita tidak bawa isu ini kerana kita tidak mempunyai orang yang betul.
“Kita berharap yang orang-orang ini akan membangkitkan isu ini dalam DUN tetapi Jamal (Yunos) tidak ada dalam itu,” katanya, merujuk pemimpin akar umbi Umno yang terkenal dengan aksi provokasi dan kini berdepan tuduhan melakukan mudarat awam.
“Namun saya ada pengalaman dalam menyuarakan isu ini kerana saya pernah bekerja dalam Kementerian Kewangan,” kata Lokman, yang baru-baru ini dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno.
Berita penuh di sini.
Komen