ADA desakan kuat dalam PKR, melibatkan pemimpin akar umbi yang berpengaruh, mahu Rafizi Ramli diangkat sebagai timbalan presiden parti itu pada pemilihan jawatan September ini, demi mengembalikan semangat reformasi yang dilihat mula terancam, kata beberapa sumber.
Sumber memberitahu, desakan itu sedang digerakkan oleh sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat PKR yang terpilih dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, yang menghantar parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) ke Putrajaya dan kekal menerajui Selangor.
Selain menghidupkan semula semangat reformasi “yang mula tercalar”, pemimpin akar umbi ini mahu mengiktiraf sumbangan Rafizi kepada parti selepas kerja-kerja kempennya mempengaruhi kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata seorang sumber yang lain.
Rafizi, yang kini naib presiden PKR, bagaimanapun setakat ini masih belum menyatakan sebarang pendirian apakah mempertahankan jawatannya atau maju mencabar timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.
“Rafizi tidak pernah sebut mengenainya (bertanding timbalan presiden) tetapi memang banyak desakan akar umbi termasuk pimpinan di bawah. Mereka menganggap Rafizi ini mampu menguatkan kembali semangat reformasi itu,” kata sumber, seorang wakil rakyat PKR yang menang PRU14 lepas.
Seorang sumber lain mengesahkan wujudnya gerakan menyokong Rafizi untuk melawan Azmin bagi jawatan nombor dua dalam PKR dan mendakwa sokongan itu “lebih kuat daripada yang Azmin ada”.
“Kita mahu kembalikan roh reformasi itu. Azmin banyak buat keputusan membelakangkan parti,” kata seorang ahli Parlimen PKR yang enggan dinamakan.
Beliau merujuk kepada percaturan politik Azmin menjelang PRU14 meneruskan kerjasama dengan PAS ketika parti di peringkat pusat sepakat dengan PH menolak parti Islam itu, selain soal pemilihan calon pilihan raya dan calon menteri besar Selangor.
“Mereka ini ialah ahli Parlimen dan ada juga dalam kalangan wakil rakyat negeri, lebih 30 orang,” kata sumber pertama, menjelaskan kumpulan pendesak yang menyokong Rafizi mencabar Azmin.
“Mereka ini ada kedudukan dan pengaruh di akar umbi,” tambahnya, yang bercakap kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan, kerana tidak mewakili kumpulan itu.
Ditanya siapa yang termasuk dalam kelompok lebih 30 wakil rakyat itu, sumber memberitahu, kebanyakan mereka ialah ahli Parlimen PKR yang bukan dalam jemaah menteri.
Kumpulan penyokong Rafizi ini yakin bekas ahli Parlimen Pandan boleh jadi timbalan presiden kerana Azmin kini “sudah sibuk sebagai menteri kabinet”.
Seorang lagi ahli Parlimen PKR yang tahu mengenai gerakan politik ini berkata, ada kemungkinan seorang calon lain akan diletakkan bertanding jawatan timbalan presiden untuk mengendurkan pertembungan antara Rafizi dan Azmin.
“Benar, sokongan itu lebih berat kepada Rafizi. Untuk jawatan timbalan presiden mungkin akan ada lebih dua penjuru,” kata sumber itu.
Ahli Parlimen itu bagaimanapun menegaskan pemilihan parti kali ini satu-satunya peluang untuk meletakkan kembali PKR ke landasan asal balik ke pangkal jalan, merujuk kepada perjuangan reformasi yang bermula 20 tahun lalu.
Semalam, Rafizi memberitahu Malaysiakini, beliau belum membuat keputusan mengenai kedudukannya pada pemilihan parti nanti, apakah mempertahankan jawatan naib presiden atau bertanding jawatan timbalan presiden.
Rafizi tidak bertanding dalam PRU14 kerana ketika itu disabitkan kesalahan mendedahkan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hukuman penjara 18 bulan itu bagaimana diganti dengan bon selepas PRU14 kerana dokumen berkenaan bukan lagi tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi 1972.
Setakat ini, Anwar Ibrahim mengesahkan bertanding jawatan presiden untuk menggantikan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dijangka akan diberi laluan mudah tidak dicabar oleh mana-mana pemimpin.
Spekulasi mengenai Rafizi ini timbul selepas Anwar dilihat cenderung mempertahankan Rafizi dalam beberapa tindakan naib presiden itu, selain pernah bergurau apa salahnya kalau Rafizi jadi timbalannya apabila beliau jadi perdana menteri nanti.
Sebelum PRU14, PH sepakat menamakan Anwar sebagai bakal perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad. Anwar ketika itu bukan calon perdana menteri PH kerana masih ditahan dalam penjara.
Azmin sementara itu belum mengumumkan langkahnya pada pemilihan parti ini walaupun ada spekulasi beliau akan mencabar Anwar untuk jawatan presiden.
Dalam pada itu, timbalan ketua sayap pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berkata parti menjulang demokrasi dan tidak menghalang mana-mana jawatan daripada dipertandingkan.
Namun beliau berpendapat, gabungan Anwar dan Azmin akan membawa PKR ke fasa yang lebih tinggi dalam menerajui kerajaan.
“Saya rasa calon terbaik untuk berganding dengan Anwar ialah Azmin sebagai timbalan presiden. Dengan gandingan ini mereka akan dapat memimpin PKR ke satu fasa lebih menarik dan lebih baik.
“Tetapi kalau Rafizi berhasrat mahu bertanding timbalan presiden, kita meraikan demokrasi dalam parti,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Ujian untuk PKR
Penganalisis politik bagaimanapun melihat sekiranya berlaku pertembungan antara Rafizi dan Azmin, perebutan jawatan parti itu akan melemahkan PKR yang perlu kekal bersatu selepas PRU14.
Sejak sebelum PRU14, PKR dibayangi masalah dalaman yang berpunca daripada wujudnya puak dalam parti yang pada garis besarnya dikelompokkan sebagai “Pasukan Azmin” dan “Pasukan Rafizi”.
Dr Wan Azizah bagaimanapun beberapa kali, termasuk sehingga selepas PRU14, menafikan wujud puak-puak dalam PKR.
Namun penganalisis juga melihat sukar untuk Rafizi “meruntuhkan” rangkaian luas Azmin dengan akar umbi parti selama 20 tahun, sejak gerakan Reformasi tercetus pada September 1998.
“Kita jangan lupa. Azmin banyak pengaruh di cabang dan dalam kalangan ahli. Beliau sudah 20 tahun ada rangkaian dalam PKR yang dibina di akar umbi. Sewaktu parti ditinggalkan Anwar (yang masuk penjara), Azmin telah isi kekosongan itu.
“Kita juga kena ingat Azmin pernah jadi MB Selangor. Beliau amat popular dan menang timbalan presiden (dalam pemilihan sebelum ini). Dengan faktor tersebut agar sukar mengalahkan beliau,” kata Dr Awang Azman Awang Pawi, pensyarah budaya politik dari Universiti Malaya. – 21 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amri Yahya · Ulasan