ABDUL Rahim Naruddin, bekas pemandu trak, merenung tiga cucunya bermain dalam sebuah kolam renang plastik di laman rumahnya di hujung Kampung Sungai Kandis, di Selangor.
Dia menyedut rokok kreteknya sambil mata menatap jauh ke seberang jalan sempit yang memisahkan rumah teres setingkatnya itu dengan deretan rumah dua tingkat yang baru dibangunkan.
Selain penduduk kampung yang mula menjual tanah mereka kepada pemaju, tidak ada banyak yang berubah di kampung itu, baik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (BN) memerintah, kata bapa empat anak itu.
“Semuanya sama di sini,” kata Rahim, 55, menceritakan apa tanggapan pengundi yang menyokong BN di kawasan majoriti Melayu yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil 4 Ogos ini.
“Yang baru itulah kunci air, pasang beberapa tahun lepas untuk tahan banjir.”
Kampung itu letaknya hanya 5 minit dari hingar-bingar Lebuhraya Kemuning-Shah Alam tetapi nampak begitu jauh terpinggir daripada arus kemajuan, lebih-lebih lagi dengan ladang kelapa sawit dan beberapa buah kilang haram yang mengelilinginya.
Bangunan paling tinggi di laluan sempit Jalan Sungai Kandis itu ialah Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis dan Masjid Al-Muhsinin.
Sekolah agama antara 20 pusat mengundi bagi kerusi negeri N49 Sungai Kandis semasa pilihan raya umum yang lepas.
Ia juga antara pusat mengundi yang BN menang dalam pertembungan dengan PH, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Rahim pada masa itu berkempen untuk calon BN, Kamaruzzaman Johari, yang kalah kepada calon PKR Mat Shuhaimi Shafiei dengan majoriti 12,480 undi.
Tetapi di pusat mengundi Rahim, Kamaruzzaman mendapat 687 daripada keseluruhan 1,797 undi yang dipungut di situ manakala Shuhaimi mendapat 615 undi sementara Mohd Yusof Abdullah (PAS) 481 dan Hanafiah Husin daripada PRM hanya satu undi.
“Kamaruzzaman budak sini,” kata Rahim, yang membantu kempen BN kerana calon itu saudara bau-bau bacang.
“Tetapi macam saya, kebanyakan orang di sini lebih sukakan PAS,” katanya, sambil menunjukkan bendera BN dan PAS yang dipasang di rumahnya.
PAS tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Dulu Sri Andalas, sekarang Sungai Kandis
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak ada yang namanya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis. Kerusi ini dulu namanya Sri Andalas.
Ia dua kali dimenangi calon PKR, Xavier Jayakumar, yang juga naib presiden parti itu. Sri Andalas sebuah kerusi campuran dengan 39% pengundi Melayu, 24% Cina dan 35% India.
Tetapi ketika BN ghairah mengintai untuk merampas balik Selangor, negeri paling kaya di Malaysia, Sri Andalas ditukar jadi Sungai Kandis selepas proses persempadanan semula yang melibatkan 18 kawasan Parlimen di negeri itu.
Kerusi yang dulunya campuran bertukar menjadi kerusi 70% Melayu. Inilah kerusi yang BN harap-harapkan akan menang dalam percaturannya merampas balik Selangor.
Dalam proses persempadanan semula itu, pengundi Cina di bahagian tengah dikeluarkan untuk ditempatkan di kawasan Sentosa.
Itu menjadikan peta kawasan N49 tampak seperti angka 2 yang herot berot dalam kawasan Parlimen Kota Raja.
Dari Jalan Sg Kandis (di bawah kawasan Klang), N49 bersambung dengan Jalan Kebun di timur dan bersambung ke selatan ke Seksyen 34 Shah Alam sebelum masuk balik ke Kampung Bukit Naga dan Bandar Puteri Klang.
Di sepanjang kawasan itu, N49 mempunyai tiga kawasan penduduk Jawa – Kg Jawa, Bukit Jati dan Jalan Kebun. Menurut cerita orang tua-tua, seorang pahlawan Jawa bernama Wak Kairan membuka Kampung Jawa ini lebih 160 tahun lalu.
Pengarah Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata daripada 20 pusat mengundi dalam pilihan raya umum yang lepas, 11 adalah kerusi majoriti Melayu dan bakinya kerusi campuran.
Tetapi selain kampung Rahim iaitu Kampung Sungai Kandis, BN tidak menang satu pun pusat mengundi yang lain.

“BN kalah teruk di kawasan bukan Melayu seperti Taman Seri Andalas dan Bandar Puteri Klang tetapi tidak dapat menahan kekalahan itu dengan pusat mengundi Melayu,” kata peneliti politik itu.
Tetapi bagi Rahim, sama ada Sri Andalas atau Sungai Kandis, BN atau PH, hidup macam itu juga tidak berubah.
“Saya belum buat keputusan lagi. Sebab bukan Kamaruzzaman atau PAS bertanding, saya bebas nak pilih siapa pun. Tengoklah apa kata hati nanti,” katanya. – 21 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan