Malaysia akan jemput China melabur, tetapi guna sumber, pekerja tempatan


Yasmin Ramlan Noel Achariam

Malaysia akan menjemput syarikat China melabur di negara ini dengan menggunakan sumber dan pekerja tempatan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Julai, 2018.

KERAJAAN akan menjemput syarikat-syarikat China untuk membuat pelaburan di negara ini dengan menggunakan sumber dan tenaga pekerja tempatan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata perkara itu akan dibincang ketika lawatannya ke China, Ogos nanti.

“Setahu saya, kita akan menjemput syarikat-syarikat China untuk melabut di negara ini (Malaysia) dengan menggunakan sumber dan tenaga pekerja Malaysia,” katanya apabila ditanya mengenai agenda beliau ke China nanti.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu itu berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi.

Selain itu, beliau juga akan membuat kemaskini berhubung isu yang dibincangkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin yang melawat ke republik itu baru-baru ini. 

Beliau turut mengulangi bahawa Malaysia tidak mampu untuk membiayai projek dan jumlah pinjaman yang dibuat daripada China harus dikurangkan untuk kepentingan negara. 

“Kemaskini apa yang Tun Daim sudah lakukan (bincang) terutamanya mengenai kontrak-kontrak yang telah diberikan.

“Dan pada hakikatnya, Malaysia (sebenarnya) tiada duit. Kita tak mampu, perlu kurangkan jumlah wang yang kita pinjam. Kalau tak kita bankrap,” katanya.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, lawatan Daim ke China adalah untuk berunding semula mengenai pinjaman dan kontrak yang diberi kepada syarikat-syarikat dari republik itu, memandangkan ada daripadanya tidak diperlukan oleh negara.– 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen