ANWAR Ibrahim hampir pasti akan diberikan laluan mudah untuk menjadi presiden PKR dan seterusnya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai bakal pengganti perdana menteri walaupun ada desakan agar jawatan itu dipertandingkan, kata beberapa pimpinan parti dan sumber
Mereka menyifatkan kepimpinan Anwar sudah lama ditunggu-tunggu – sejak beliau menggerakkan kebangkitan rakyat 20 tahun lalu – sehingga membawa kepada jatuhnya Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Menurut mereka, kepimpinan Anwar dalam parti dan seterusnya sebagai tonggak kerajaan penting untuk memastikan agenda reformasi Putrajaya berjaya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pimpinan PKR sudah mula membincangkan kemungkinan Anwar yang menawarkan diri menjadi presiden bagi menggantikan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dicabar dalam pemilihan parti.
Perbincangan itu dibuat ketika ada dalam kalangan pimpinan kanan PKR yang mahu jangan ada sekatan ke atas mana-mana jawatan dalam parti daripada dipertandingkan.
“Kita mahu Anwar menang tanpa bertanding, bagi memudahkan peralihan kuasa daripada Wan Azizah kepada Anwar,” kata seorang ahli pimpinan tinggi PKR, yang tidak mahu dinamakan kerana menganggapnya “isu sensitif”.
Wan Azizah yang memimpin PKR sejak 1999 sebelum ini berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan jika Anwar menawarkan diri sebagai presiden parti.
Bagaimanapun, Naib Presiden Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan belum ada ketetapan dibuat oleh pimpinan parti mengenai kedudukan jawatan presiden pada pemilihan PKR, yang pencalonannya dijadualkan pada hujung bulan ini.
“Kita dalam proses perbincangan, bukan sekadar (jawatan) presiden sahaja tetapi keseluruhan kepimpinan termasuk naib-naib presiden, MPP (majlis pimpinan pusat),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perlembagaan PKR membuka seluas-luasnya pertandingan dan setakat ini tiada keputusan parti menyekat pertandingan bagi mana-mana jawatan.
Anwar pada Ahad menawarkan diri untuk menjadi presiden PKR menggantikan isterinya Wan Azizah. Tawaran Anwar, yang kini ketua umum PKR, disifatkan sebagai “memenuhi janji Reformasi”, yang tertangguh sejak lebih 10 tahun lalu.
Tiga hari selepas pengumuman Anwar, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa agar ruang demokrasi dalam parti itu tidak ditutup dan jangan ada sekatan pertandingan mana-mana jawatan.
Beliau menyebut daya kepimpinan Mohamed Azmin Ali yang terbukti semasa menjadi menteri besar Selangor dan sekarang menteri hal ehwal Ekonomi di Putrajaya.
“Dalam pada tawaran Dato’ Seri Anwar Ibrahim diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Pimpinan PKR di beberapa negeri juga menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi presiden dengan Terengganu antara negeri yang secara terbuka meminta jawatan presiden tidak dipertandingkan.
Sementara itu, Shamsul Iskandar menepis tanggapan bahawa jawatan presiden sekiranya tidak ditandingi menjadikan PKR sama seperti Umno pada suatu masa dahulu yang dikritik sebagai tidak demokratik.
Katanya, struktur Umno tidak sama dengan PKR, yang memberi setiap ahlinya kuasa undi memilih presiden.
“Mereka mengundi sesiapa yang mereka ingin angkat sebagai kepimpinan. Tapi kalau anggota parti yang sudah mencecah 800,000 memikirkan tidak perlu ada pertandingan, itu juga satu proses demokrasi,” kata ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, dan menambah kehendak majoriti parti harus dihormati.
Umno membuka pertandingan bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan Jun lepas, yang pertama sejak pertandingan terakhir jawatan presiden parti Melayu itu pada 1987.
Dalam pada itu, bekas ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, Yusmadi Yusoff berkata, pemilihan parti kali ini mesti menjadikan Anwar sebagai presiden kerana peralihan kuasa di Putrajaya harus bermula dengan peralihan kepimpinan dalam parti.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan (PH) sepakat menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dengan Anwar sebagai calon penggantinya selepas tempoh peralihan antara kerajaan BN dan PH yang tidak disebutkan tempohnya.
“Parti yang kuat akan menjadikan kerajaan kuat,” kata bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu yang sebelum ini mengetuai badan penyokong Anwar atas nama Free Anwar Movement.
Jelas beliau, kedudukan Anwar sebagai presiden PKR akan memberikan beliau legitimasi untuk memastikan agenda reformasi yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan berjalan, agenda yang asasnya bermula dengan gerakan Reformasi pada September 1998.
“Menjadikan Anwar sebagai presiden Keadilan adalah tanggungjawab demokrasi setiap ahli Keadilan kerana menjadi tanggungjawab pendokong Reformasi memastikan pemimpin terbaik dan mampu menjayakan agenda tersebut,” tambahnya.
Shamsul dalam pada itu turut beranggapan mengangkat Anwar sebagai presiden, kalau tanpa pertandingan, bukan juga suatu jalan mudah kerana perjuangan politik beliau yang sukar sejak 20 tahun lalu.
Anwar pernah diminta untuk menjadi presiden PKR pada pemilihan 2007.
Namun pada masa itu, beliau mengundur diri selepas menyedari penglibatannya dalam parti mungkin boleh menyeret PKR ke dalam masalah kerana kedudukannya yang ketika itu baru dibebaskan dari penjara.
Anwar ketika itu masih berdepan sekatan bergiat dalam politik selepas menjalani hukuman penjara atas kes yang dihadapinya pada 1998. Anwar kemudian bertanding pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008.
Namun bagi ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Wong Chen, kalau parti membuka sekali pun pertandingan bagi jawatan presiden, beliau tidak pasti apakah ada mana-mana ahlinya yang mahu mencabar Anwar yang sudah mengumumkan hasratnya jadi presiden.
“Kita tidak halang sesiapa nak bertanding, cuma persoalannya siapa berani hendak bertanding (lawan Anwar). Dalam parti ini kita mengamalkan sistem demokrasi. Tiada arahan kata tidak boleh bertanding,” katanya, membandingkan PKR dengan Umno sebelum ini.
“Saya berharap adalah seorang dua akan bertanding (jawatan presiden) sebab ini memberi persepsi baik pada parti. Tapi terpulanglah. Siapa yang berani?” tambahnya.
Pencalonan pemilihan bagi jawatan PKR pusat ditetapkan pada 29 Julai manakala pemilihan dijadual berlangsung antara 14 September hingga 7 Oktober, serentak di negeri-negeri mengikut giliran sepanjang empat hujung minggu antara tempoh tersebut. – 20 Julai, 2018.

Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan