Anwar umum tanding presiden PKR


Ketua Umum PKR itu berkata, beliau membuat keputusan itu selepas berbincang dengan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali serta kepimpinan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

ANWAR Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadual diadakan dalam kongres tahunannya pada November ini, demi kelangsungan parti.

Ketua Umum PKR itu berkata, beliau membuat keputusan itu selepas berbincang dengan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali serta kepimpinan parti.

“Justeru setelah berbincang dengan Azizah, timbalan presiden, dan kepimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan Keadilan, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan presiden Keadilan,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

“InsyaAllah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional Keadilan pada November 2018.”

Pengumuman Anwar ini menamatkan spekulasi berminggu-minggu sejak selepas beliau dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan diraja susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Anwar, yang disifatkan sebagai bakal perdana menteri Malaysia ke-8, dibebaskan dari tahanan pada 16 Mei. Pakatan Harapan sebelum ini bermuafakat Anwar akan jadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa pimpinan PKR baru-baru ini mencadangkan Anwar diangkat sebagai presiden PKR sebelum beliau mengambil alih kepimpinan Malaysia daripada Dr Mahathir.

Cadangan pertama oleh timbalan ketua pemuda PKR, Dr Afiff Bahardin minggu lalu disambut beberapa hari kemudian oleh bekas exco sayap itu, Yusmadi Yusoff. 

Menurut Yusmadi, pemilihan Anwar sebagai presiden PKR harus jadi permulaan peralihan kuasa yang lancar dalam pentadbiran Putrajaya.

PKR akan mengadakan mesyuarat cabang secara serentak mengikut jadual di negeri-negeri antara 24 Ogos hingga 9 September ini.

Dalam kenyataan medianya, Anwar menjelaskan bagaimana beliau sudah pernah diminta memimpin PKR sebagai presiden sejak 2007 namun beliau menolak kerana boleh memberi kesan kepada parti termasuk dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Anwar ketika itu masih berdepan sekatan bergiat dalam politik selepas menjalani hukuman penjara kes pada 1998. Anwar kemudian bertanding pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008. – 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen