AHLI Parlimen Sungai Petani Johari Abdul mengesahkan bahawa beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti September ini.
Johari yang merupakan Ketua Whip PKR di Dewan Rakyat berkata walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 telah tamat, tidak semestinya gerakan reformasi perlu dihentikan.
“Sekarang PRU pun dah habis dan sekarang saya nak bertanding bagi menggerakkan reformasi. Bila sebut reformasi ini tidak bermakna selepas tamat PRU kita tak menggerakkan reformasi.
“Parti itu tertegak kerana banyak benda reform yang kita perlu buat. Antaranya agensi-agensi yang kita kena reform, kena ada bidang kuasa yang jelas.
“Jadi saya rasa InsyaAllah kalau saya jadi naib presiden dengan yang lain, saya rasa kita kena teruskan gerakan reformasi ini hingga kita rasa Malaysia capai satu tahap yang boleh dibanggakan,” katanya kepada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.
Menurut Johari, setakat ini terdapat ruang yang luas untuk parti tersebut bangunkan.
Pencalonan pemilihan bagi jawatan PKR pusat ditetapkan pada 29 Julai manakala pemilihan dijadual berlangsung antara 14 September hingga 7 Oktober, serentak di negeri-negeri mengikut giliran sepanjang empat hujung minggu antara tempoh tersebut.
Menyentuh mengenai jawatan presiden PKR, beliau berpendapat tiada individu yang lebih layak memegang jawatan tersebut selain Ketua Umum Anwar Ibrahim, menggantikan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Sudah tentu Datuk Seri Anwar akan bertanding dan saya sokong dia 100%.
“Malah, saya, dia dan beberapa teman lain yang gerakkan reformasi sejak 1998. Saya dan Wan Azizah yang tubuhkan PKR 1988.
“Maknanya saya boleh kenal dan rasai orang yang boleh mengetuai kita Datuk Seri Anwar,” katanya.
Sebelum ini terdapat khabar angin bahawa Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali bakal menawarkan diri untuk jawatan presiden parti.
Namun semalam, Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Hilman Idham berkata Azmin akan menyokong Anwar dan akan mempertahankan jawatan sedia ada.
Sementara itu, Johari berkata beliau turut mempunyai beberapa pilihan calon bertanding jawatan timbalan presiden.
“Mungkin ada dua tiga orang yang akan bertanding jawatan tersebut.
“Saya akan ada pilihan lain yang akan saya umumkan tapi presiden mesti Datuk Seri Anwar dan timbalan akan saya umumkan kemudian,” katanya.– 19 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Hazlan Sani · Ulasan