Azmin cabar Anwar untuk jawatan presiden PKR?


Kamles Kumar Yasmin Ramlan

Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau hanya akan membuat keputusan mengenai pertandingan itu sebelum pemilihan dijalankan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2018

AZMIN Ali masih enggan mengesahkan sama ada beliau akan mencabar ketua umum, Anwar Ibrahim untuk jawatan presiden PKR.

Timbalan presiden itu berkata beliau pada masa ini masih belum membuat keputusan dan hanya akan memfokuskan kepada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Tegasnya beliau hanya akan membuat keputusan mengenai pertandingan itu sebelum pemilihan dijalankan.

“Sebelum pemilihan (akan buat keputusan). Pada ketika ini saya akan fokus tentang sidang Parlimen.

“Itu sepatutnya menjadi keutamaan. Ini adalah sesi pertama. Menjadi tugas dan tanggungjawab moral saya untuk menyediakan jawapan keada soalan itu,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Beliau juga sekadar ketawa apabila pemberita mencadangkan untuk beliau memutuskan untuk bertanding jawatan tersebut.

Azmin turut ditanya mengenai saranan ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin agar beliau bertanding jawatan itu.

Mengulas saranan itu, Azmin sekadar mengucapkan “terima kasih” kepada Zuraida.

Sementara itu, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau menyokong bapanya, Anwar Ibrahim bertanding untuk jawatan presiden parti.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata pertandingan jawatan tersebut secara tidak langsung memberi keadilan kepada Anwar yang dinafikan haknya untuk berpolitik oleh kerajaan sebelum ini.

“Sudah tentu ini mengambil kira latar belakang di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dinafikan hak beliau untuk berpolitik menerusi penghakiman dan penghukuman yang tempang dari segi keadilan.

“Maka bila berlandaskan latar belakang tersebut, sudah tentu akan dilihat ramai yang menyuarakan hak-hak beliau dikembalikan untuk memimpin parti dan perjuangan reformasi,” katanya yang turut ditemui di bangunan Parlimen.

Keputusan untuk bertanding jawatan itu diumumkan Anwar pada hari Isnin lalu.

Menurutnya, ia dibuat selepas berbincang dengan isterinya yang juga presiden PKR ketika ini Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan barisan kepimpinan lain.

Beliau yang dipenjarakan di bawah pimpinan Barisan Nasional atas kesalahan liwat berkata, keputusan untuk bertanding jawatan presiden itu juga dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta akar umbi yang mahukan beliau menggantikan Wan Azizah. – 18 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen