Jangan sekat pertandingan jawatan presiden PKR, kata Zuraida


Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata parti perlu memastikan ruang demokrasi terbuka seperti yang diperjuangkan PKR selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2018.

KETUA Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menggesa parti agar tidak menyekat mana-mana individu daripada mencabar ketua umum, Anwar Ibrahim untuk pertandingan jawatan presiden.

Katanya, parti perlu memastikan ruang demokrasi itu terbuka seperti yang diperjuangkan PKR selama ini.

“Parti harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baharu yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

“Keadilan dalam konteks ini perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama hampir 20 tahun – demokrasi itu perlu bermula dari dalam parti kita sendiri.

“Ruang keterbukaan yang termaktub dalam perlembagaan parti perlu diangkat bersama dan diterjemah dalam usaha terus meyakinkan rakyat bahawa PKR adalah parti yang terbaik mewakili mereka,” kata Zuraida dalam satu kenyataan.

Beliau berkata PKR perlu menunjukkan sikap berbeza berbanding Umno menyaksikan jawatan tertinggi parti tidak ditandingi.

Dalam kenyataannya, ahli Parlimen Ampang itu turut menyatakan timbalan presiden, Azmin Ali berkelayakan untuk bertanding jawatan tertinggi parti.

Katanya, Azmin selaku bekas menteri besar Selangor mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran.

Menteri hal ehwal ekonomi itu juga mempunyai watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab tersebut, katanya.

“Telah dibuktikan dalam pentadbiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai,” katanya.

Anwar pada 14 Julai lalu mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden parti.

Langkah itu dilihat oleh sesetengah pemimpin parti sebagai satu usaha ke arah kelancaran peralihan kuasa di Putrajaya – untuk Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

PKR akan mengadakan mesyuarat cabang secara serentak mengikut jadual di negeri-negeri antara 24 Ogos hingga 9 September ini. – 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen