PAKATAN Harapan sepatutnya memastikan semua speaker Dewan Undangan Negeri tidak memihak kepada mana-mana parti politik terlebih dahulu sebelum menuding jari mencari kesalahan speaker Dewan Negara, kata pemimpin MIC.
Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh berkata semua speaker DUN sekarang adalah ahli parti politik dan tidak adil kerajaan hanya menuding jari kepada Presiden MIC S A Vigneswaran yang merupakan speaker Dewan Negara.
“Tidak ada syarat untuk seorang speaker tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Semua speaker DUN adalah lantikan politik parti.
“Mereka (PH) sepatutnya meminta mereka (speaker DUN) meletak jawatan dahulu sebelum menggesa Vigneswaran berundur,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang juga wakil rakyat Cameron Highland berkata demikian sebagai respond kepada gesaan Lim Lin Eng (DAP) yang menggesa Vigneswaran meletak jawatan speaker Dewan Negara selari dengan kebiasaan lantikan politik berundur daripada jawatan mereka selepas perubahan kerajaan.
Sivarraajh berkata Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yunos juga masih ahli Amanah walaupun sudah meletak jawatan dalam parti.
Katanya, tiada sebab Vigneswaran perlu berundur dan beliau “akan kekal sehingga penggalnya habis”.
Penggal Vigneswaran dijadualkan tamat pada 2020.
Sementara itu, Vigneswaran ketika dihubungi berkata mengecam Lim kerana berlebih-lebihan dalam soal lantikan politik sedangkan PH sendiri berbuat perkara sama.
“Jangan ubah ikut suka hati awak sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lim berkata walaupun Vigneswaran mendakwa tidak akan berpihak, masih wujud kewajaran untuknya meletak jawatan dalam MIC.
Ahli Parlimen Kepong itu berkata sebaik sahaja Vigneswaran berundur, PH boleh melantik calon pilihannya sebagai speaker Dewan Negara.
PH dijangka akan berdepan kesukaran meluluskan rang undang-undang di Dewan Negara kerana tidak mempunyai majoriti dalam dewan tertinggi negara itu. – 17 Julai, 2018.
Komen