Kurang senator di Dewan Negara, Pakatan berdepan halangan mansuh undang-undang


Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Amanah mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara today. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2018.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) masih berdepan halangan perundangan walaupun ada tambahan lantikan senator hari ini.

Pelantikan baharu itu menambah kehadiran PH di Dewan Negara kepada tujuh orang berbanding dua sebelum ini, dengan dua lagi sekutu iaitu Pengerusi Hindraf P. Waytha Moorthy dan senator sedia ada daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu.

Bagaimanapun, barisan senator baharu itu masih perlu berdepan dengan sejumlah besar senator yang didominasi oleh Barisan Nasional (BN).

Setakat bulan lalu, daripada 46 jumlah senator, 30 daripadanya ialah BN dengan 22 Umno, MCA (5) dan MIC (3). Barisan Progresif India yang mesra BN mempunyai seorang senator. Bekas parti komponen BN, Gerakan yang kini parti bebas, ada dua.

Dua senator dilantik hari ini daripada PAS menjadikan ahli Dewan Negara bagi parti itu empat orang.

Sekutu lain PH ialah tiga senator daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan masing-masing seorang daripada Parti Bersatu Sabah dan Parti Demokrasi Liberal.

GPS dan parti-parti Sabah bukan sebahagian daripada PH, tetapi mereka menyokong kerajaan.

Kerajaan PH berhasrat untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada persidangan Parlimen kali ini, dengan SST akan dilaksanakan semula pada 1 September.

Memandangkan majoriti PH dalam 222 kerusi di Dewan Rakyat, ia tidak akan berdepan masalah di Dewan rendah, dan tidak sepatutnya berdepan masalah di Senat, yang boleh dipintas untuk rang undang-undang kewangan selepas 30 hari, di bawah Artikel 68 Perlembagaan Persekutuan.

Rang undang-undang wang seperti didefinisikan dalam Artikel 67 merujuk kepada rang undang-undang atau pindaan yang secara langsung atau tidak memberi kesan terhadap cukai, pinjaman wang, bayaran dan resit wang daripada dana yang disatukan, selain urusan kewangan lain.

Bagaimanapun, rang undang-undang bukan wang boleh memintas Senat hanya selepas setahun.

Ini berkaitan dengan undang-undang lain yang mahu diubah oleh kerajaan. PH sebelum ini berkata akan memansuhkan beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan termasuk Akta Anti Berita Palsu yang diluluskan secara tergesa-gesa dan diwartakan di bawah kerajaan BN sebelum pilihan raya 9 Mei.

Undang-undang lain yang disebut dalam manifesto pilihan raya PH untuk dimansuhkan atau dipinda ialah Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Majlis Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Perhimpunan Aman.

Di bawah Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan, sesesuatu rang undang-undang perlu diluluskan oleh kedua-dua Dewan – Dewan Rakyat dan Dewan Negara – sebelum ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Bagaimanapun, jika senator BN mahu mencabar rang undang-undang bukan wang, tindakan kerajaan untuk memansuhkan undang-undang tertentu mungkin akan tertangguh hingga setahun. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen