Anifah ucap tahniah kepada speaker Dewan Rakyat 


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman tidak mengikuti ahli Parlimen pembnagkang lain yang bertindak keluar persidangan Dewan Rakyat pagi tadi sebagai tanda bantahan kepada pelantikan Yang Dipertua Mohammad Ariff Md Yusof yang didakwa tidak mengikut peraturan. – Gambar EPA, 16 Julai, 2018.

JIKA majoriti ahli Parlimen pembangkang hari ini bertindak keluar daripada Dewan Rakyat sebagai membantah pelantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker, Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman sebaliknya kekal di tempat duduk beliau dan mengucapkan tahniah di atas lantikan speaker baru itu.

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS keluar Dewan sebagai tanda bantahan kepada pelantikan Yang Dipertua Mohammad Ariff Md Yusof yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Hanya Anifah, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli yang kekal dalam Dewan.

“Kita telahpun menzahirkan rasa tidak setuju dan puas hati terhadap PROSES pelantikan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat pada hari ini. Saya menghormati pandangan dan pendirian rakan-rakan lain yang berdiri sebagai pembangkang pada hari ini,” kata Anifah.

“Walau bagaimanapun saya berpendapat dan merasakan tidak perlu untuk saya bertindak meninggalkan dewan pada pagi tadi. Saya berpendapat dan akan bertindak dalam mana isu-isu yang akan memberi manfaat pada rakyat dan negara.

“Apapun, saya ucapkan tahniah kepada Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat di atas pelantikan beliau pada hari ini,” kata bekas menteri luar itu.

Terdahulu, Khairy berkata beliau tidak meninggalkan Dewan Rakyat seperti ahli Parlimen pembangkang lain hari ini kerana tidak mahu mencemarkan nama BN.

“Cara macam mana kita nak bantah itu boleh kita buat sewaktu perbahasan nanti ataupun selepas upacara perasmian pembukaan Parlimen pada hari esok dalam perbahasan ataupun melalui standing order pada Rabu ini.

“Jadi saya rasa hari ini lebih baik jika kita menghormati majlis dan kita tak buat apa-apa tindakan yang mencemarkan Barisan Nasional sebagai pembangkang,” katanya. – 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen