SELEPAS Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau berhasrat untuk menjadi pembangkang yang membina dan berkhidmat untuk rakyat.
“Saya terima (jadi pembangkang) sebab pada saya, saya utamakan khidmat kepada rakyat dan saya mahu jadi ahli pembangkang yang membina.
“Saya mahu memainkan peranan supaya demokrasi dalam negara kita… dapat memberi makna kepada prinsip dan amalan demokrasi yang sihat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas sesi mengangkat sumpah, hari ini.
Najib berkata sikap demokrasi perlu diamalkan kerajaan sedia ada kerana beliau berpendapat hak bersuara sebagai pembangkang dinafikan.
“Kita mengamalkan demokrasi yang constructive. Dulu bila kami (BN) dalam kerajaan kami selalu dipersalahkan.
“Jadi, sekarang ni mereka sepatutnya menunjukkan bahawa peluang untuk pembangkang bersuara yang telahpun dinafikan,” katanya.
Beliau berkara demikian merujuk kepada pelantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof yang dibantah oleh ahli Parlimen pembangkang pagi tadi di Dewan Rakyat. – 16 Julai, 2018.
Komen