Umno bukan musuh Khairy tetapi Pakatan, kata penganalisis 


Nabihah Hamid

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaysia (UM) berkata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) seharusnya lebih fokus melontarkan kritikan terhadap Pakatan Harapan dan menegur partinya, Umno, menggunakan saluran dalaman.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018. 

UMNO perlu memanfaatkan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang tiada dalam barisan kepimpinan tertinggi Umno dengan sebaiknya dan perlu berjuang bersama-sama melawan musuh sebenar iaitu Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Penganalisis mengulas tindakan ahli Parlimen Rembau itu yang kebelakangan ini dilihat lebih banyak mengkritik Umno selepas tewas merebut jawatan presiden Umno pada pemilihan 30 Jun lalu. 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaysia (UM) berkata Khairy seharusnya lebih fokus melontarkan kritikan terhadap PH dan menegur partinya menggunakan saluran dalaman. 

“Musuh politik Khairy bukan Umno sebaliknya PH. Jadi Khairy perlu menegur melalui saluran dalaman parti yang bermesyuarat secara bulanan atau perjumpaan rasmi dan tak rasmi dengan kepimpinan tinggi parti.

“Sebagai seorang yang berpengalaman sebagai mantan menteri dan ketua Pemuda Umno sewajarnya beliau dimanfaatkan untuk kebaikan parti dan menegur kerajaan PH yang tidaklah sempurna sepenuhnya,” kata Dr Awang Azman kepada The Malaysian Insight. 

Katanya, Khairy tidak tersenarai dalam pimpinan tertinggi yang diumumkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi atas kehendak beliau sendiri yang tidak mahu memegang mana-mana jawatan parti selepas tewas merebut jawatan tertinggi parti. 

Bagaimanapun, ketiadaan Khairy dalam barisan kepimpinan tertinggi dapat membuka peluang pemimpin Umno lain menerajui kepimpinan parti. 

Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar pula berkata meskipun ruang kritikan Khairy menjadi lebih luas tanpa sekatan namun Majlis Tertinggi Umno dilihat hilang satu suara besar bersama barisan kepimpinan pembangkang. 

“Keburukannya, MT kekurangan satu suara ‘dissent’ di kalangan pemimpinnya. Dan untuk Khairy, ruang membina pengaruh di kalangan akar umbi adalah lebih terhad,” katanya yang merupakan pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Minggu lalu, Khairy menyuarakan kekecewaannya dengan Umno yang masih belum mengambil teladan daripada kekalahan pilihan raya umum 9 Mei kerana masih memainkan sentimen perkauman. 

Khairy merujuk kepada tentangan hebat partinya mengenai pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan utama dalam cabang kerajaan.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ulang semula. Tak salah kita bersolidariti dengan (Najib Razak) tetapi takkan itu sahaja Umno baharu. 

“Sudah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” kata bekas menteri belia dan sukan itu dalam tulisannya di Twitter.

Beliau merasakan Umno akan gagal menawan Putrajaya kerana tidak fokus isu lebih penting terutamanya melibatkan ekonomi. 

“Keresahan Melayu memang ada, tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain,” katanya lagi di Twitter.

Semalam, Khairy menyifatkan tindakan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali menolak pelantikannya sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno selepas terdahulu menerimanya sebagai “memalukan”. 

Ahli Parlimen Rembau itu juga mempersoalkan apakah episod patah balik Apandi itu akan menjejaskan keupayaan Umno untuk memimpin pembangkang di Parlimen.– 15 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen