BERIKUTAN aduan pengguna mengenai kenaikan harga barang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail menggesa rakyat agar memuat turun aplikasi Price Catcher kementerian.
Katanya, seramai 1,044 pegawai di seluruh negara ditugaskan untuk memantau harga 417 barang seperti barangan segar, kering dan makanan dalam tin; minuman; susu dan produk bayi serta produk kebersihan.
Pegawai terbabit akan mengemaskini harga terkini ke aplikasi berkenaan setiap hari, katanya.
“Kamu boleh lihat harga ayam, makanan laut, sayur-sayuran dan barangan lain yang dijual di hipermarket dan pasar awam di kawasan masing-masing..sama ada kamu di Bayan Baru atau Tanjung Malim.
“Ia merupakan aplikasi yang kuat. Kamu boleh bandingkan harga barangan yang ditawarkan oleh premis berbeza di kawasan kamu, dan membeli belah di premis yang menawarkan harga terbaik.
“Ini bagaimana telusnya kita dengan rakyat mengenai harga barangan,” katanya kepada pemberita di Komtar, Pulau Pinang.
Saifuddin berkata aplikasi itu akan memberi kuasa kepada pengguna dan membantu mereka memilih di mana untuk mereka berbelanja dan tidak membantu perniagaan yang mengenakan harga tinggi.
“Pengguna tidak perlu untuk menunggu kerajaan buat pengumuman harga. Mereka boleh menyemak sendiri setiap hari menggunakan aplikasi ini dan menjadi pengguna yang bijak.
“Tugas saya adalah memastikan kita mempunyai bekalan makanan yang cukup yang dijual pada harga yang berpatutan. Kita mampu mencapainya bila kita mempunyai pengguna yang bijak dan amalan perniagaan yang beretika.”
Aplikasi itu, kata Saifuddin dicipta setahun lalu namun mungkin ia tidak dipromosikan kepada umum.
Setakat ini katanya, kira-kira 40,000 pengguna memuat turun aplikasi berkenaan yang ada pada kedua-dua platform Android dan iOS.
Beliau turut menggalakkan pengguna untuk berdaftar sebagai “Friends of KPDNKK” dan membantu kementerian menjadi “mata” mereka dan membuat aduan.
Setakat ini, 800,000 orang telah mendaftar sebagai Friends of KPDNKK menerusi laman web kementerian, katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan menetapkan GST pada kadar sifar pada 1 Jun, seminggu selepas menawan Putrajaya. Cukai berkenaan dipersalahkan kerana peningkatan kos sara hidup sejak beberapa tahun lalu.
Selepas cukai tambahan 6% itu disifarkan pada 1 Jun, orang ramai menjangkakan penurunan harga barangan. – 13 Julai, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan