PEMIMPIN PKR Rafizi Ramli memberi keterangan kepada polis hari ini berhubung kenyataannya mengenai barang kemas isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor.
Naib presiden PKR itu berkata beliau memberi keterangan di ibu pejabat daerah polis Sentul jam 10 pagi ini.
Rafizi berkata beliau disiasat berhubung kesalahan fitnah jenayah mengikut Seksyen 5 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Rakaman percakapan dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, katanya yang ditemani peguam, Ashraf Othman.
Rafizi pada Selasa lalu berkata, laporan terhadapnya dibuat oleh Rosmah di ibu pejabat polis daerah Sentul selepas pilihan raya umum 9 Mei.
Katanya, beliau didakwa memutarbelitkan isu pembelian berlian dan barang kemas Rosmah sehingga menjejaskan reputasi isteri bekas perdana menteri itu dan keluarga. – 13 Julai, 2018.
Komen