Polis panggil Rafizi berhubung kes cincin Rosmah


RAFIZI Ramli dipanggil polis untuk siasatan berhubung dakwaan kononnya naib presiden PKR itu memutarbelitkan isu pembelian berlian dan barang kemas Rosmah Mansor sehingga menjejaskan reputasi isteri bekas perdana menteri itu dan keluarga.

Menurut Rafizi, beliau dimaklumkan oleh polis, laporan terhadapnya dibuat oleh Rosmah di ibu pejabat polis daerah Sentul. Polis juga mengesahkan kepada beliau laporan polis itu bukan yang lama tetapi dibuat selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Rafizi juga menyifatkan siasatan polis kali ini membuatnya “puas hati”, tidak seperti panggilan polis untuk diambil keterangan dalam siasatan atas hal-hal yang melibatkan kepentingan awam sebelum ini.

“Maksudnya, pihak polis sedang belajar menjadi lebih bebas dan tidak terikut dengan kehendak politik.

“InsyaAllah saya akan memberi keterangan hari Jumaat ini di IPD Sentul,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas Rafizi, beliau lega kerana siasatan polis terhadapnya menunjukkan polis tetap membuka kertas siasatan walaupun laporan polis dibuat terhadap seorang pemimpin Pakatan Harapan, kerajaan yang sekarang memerintah di Putrajaya.

“Ini yang sepatutnya berlaku. Semua aduan, laporan – tidak kira dari siapa, yang kaya, yang miskin, yang menang dan yang tewas – perlu disiasat,” katanya.

Menurut surat yang diterima Rafizi daripada pegawai penyiasat, kes akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Awal hari ini, media melaporkan satu syarikat pemborong barang kemas di Lubnan, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap Rosmah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bulan lepas.

Syarikat itu menuntut supaya Rosmah memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta (RM59.831 juta).

Beliau turut dikaitkan dengan siasatan terhadap suaminya berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, polis menyerbu rumah pasangan itu di Langgak Duta dan beberapa premis lain berkaitan dengan mereka.

Lebih 12,000 barang kemas - terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 kalung, 2,100 gelang, 2,800 pasangan anting-anting, 1,600 kerongsang dan 14 tiara - disita, bersama wang tunai dan barangan mewah lain seperti beg tangan dan jam tangan. – 10 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen