PENDUDUK Sabah gembira dengan pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim Mahkamah Persekutuan, serta David Wong sebagai ketua hakim Sabah dan Sarawak.
Malanjum dan Wong berasal dari Sabah, menjadi penduduk Malaysia Timur yang pertama dilantik memegang jawatan kehakiman tertinggi di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau berkata Malanjum akan berkhidmat dengan baik dengan jawatan barunya berdasarkan pengalamannya dalam bidang undang-undang dan kehakiman.
“Sepanjang kariernya, Malanjum diiktiraf dan dihormati atas komitmennya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi integriti Perlembagaan,” katanya.
Persatuan Undang-Undang Sabah, juga menyatakan pelantikan Malanjum dan Wong adalah bukti pengiktirafan kedua-dua hakim yang berkaliber.
“Kedua-duanya adalah pengamal undang-undang swasta di Sabah sebelum diberi jawatan ini.
“Mereka akan berpeluang mencipta kesan positif dan berkekalan dalam sistem kehakiman Malaysia dan dengan itu akan membantu mempromosikan keadilan, menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi hak orang awam,” kata presidennya, Brendon Keith Soh.
Malanjum, 65 tahun, mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara yang baharu semalam, menggantikan Mohd Raus Sharif, yang peletakan jawatannya berkuatkuasa 31 Julai.
Malanjum menerima pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu majlis di Istana Negeri, pada petang Rabu.
Pengkritik mengatakan pemilihan Malanjum sebagai ketua hakim baru adalah cara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggembirakan penduduk Sabah dalam cubaan menebus kesilapan lalu.
Dr Mahathir dituduh membanjiri Sabah dengan pendatang tanpa izin dan membawa Umno ke negeri itu.
Tetapi kebanyakan penduduk Sabah segera menepis tuduhan politik itu, dengan mengatakan pengiktirafan kedua-dua syarat hakim itu sudah lama tertangguh.
“Ia adalah masa yang tepat bagi seorang penduduk Sabah untuk menerajui kedudukan tertinggi dalam sistem kehakiman negara. Cakap-cakap mengenai pelantikannya yang bermotifkan politik mungkin hanya kebetulan,” kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah, Johnny Mositun.
“Jangan lupa Richard sememangnya patut dilantik, kerana beliau adalah hakim paling kanan yang saya kenal.” – 12 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Princess Katara · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan