Bercakap politik dalam bahasa anak muda


Izmil Amri

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, hadir ke acara rumah terbuka presidennya dengan berbaju Melayu moden, berseluar jeans dan sepatu kulit. Nampak sahaja rombongan anak muda DAP datang, beliau bingkas bangun, bersalam dan mengiring sampai ke meja.

Mungkin hanya kami berdua yang pakai baju melayu seluar jeans di acara itu. Selebihnya pakcik-pakcik berbaju melayu lengkap berkain samping, atau berbaju batik kain licin. Uniform rasmi orang politik.

Selesai bergambar dengan tetamu-tetamu kehormat yang duduk di meja utama, saya ambil tempat di sebelahnya,dan bertanya hal-hal kerja.

PPBM khabarnya mengaku bahawa lebih separuh (55%) anggotanya berusia 35 tahun ke bawah. Lebih kurang begitulah yang pernah didakwa si Ketua Armada ini dalam satu sidang media baru-baru ini.

Entah la dia melabun atau sekadar propaganda, kita tidak tahu. Belum ada angka rasmi yang pernah dilaporkan media tentang demografi parti serpihan UMNO itu. Tetapi Syed Saddiq nampak yakin dengan angka-angka yang ditunjuknya kepada saya di media sosial.

“Benda-benda official, reach tak seberapa,” kata dia.

“Tapi kalau benda-benda kelakar spontan yang Tun buat, reach beratus ribu.”

Beliau merujuk kepada video lagu raya kegemaran Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru beberapa hari lalu menyambut ulangtahun kelahiran ke-92. Dalam video tersebut, Tun dipaparkan sedang menyanyikan lagu raya, sambil isterinya Tun Dr Siti Hasmah cuba untuk tidak ketawa.

Itu tidak termasuk perkongsian Tun di laman sosial Twitter yang tidak kurang mencuit hati. Terbaru ialah perkongsian gambar sambutan hari lahirnya itu dengan kapsyen berbunyi, “Sambutan Hari Jadi ke-92? Saya rasa mereka salah orang. Saya baru 29 tahun.”

Di acara rumah terbuka Tan Sri Muhyiddin Yassin juga, ada sambutan majlis hari jadi untuk pasangan itu. Kicauan Tun di Twitter kali ini lebih mencuit hati.

“Dulu senang nak tiup candle, sekarang zaman dah berubah, orang suruh tiup mercun pulak.”

Kicauan itu menemani sekeping gambar yang memaparkan beliau sedang cuba meniup bunga api di atas kek supaya padam. Memanglah tak padam. Kicauan itu mendapat 14 ribu kali retweet setakat rencana ini ditulis.

Menurut Syed Saddiq, di Twitter Tun yang ‘tweet’ sendiri. Meski hanya menggunakan SMS dan tidak masuk dalam kumpulan-kumpulan Whatsapp, Tun nampaknya mahir benar dengan media sosial. Apa tidaknya, beliaulah yang gigih membina asas kepada teknologi negara dengan Multimedia Super Corridor dan segala yang sewaktu dengannya.

PPBM, meski berpengerusikan Mahathir yang usianya kurang lapan tahun cukup satu abad, nampaknya cemerlang menarik minat politik anak muda. Mungkin kerana para milenial yang sudah cukup umur untuk mengundi, lahir dalam sistem yang mengangkat Mahathir sebagai dewata raya penuh sakti dan jasa kepada bangsa.

Tidak kurang juga pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang sehingga hari ini masih belum jemu bermain Pokemon Go, meski ramai dari kalangan kita yang sudah bosan dan berputus asa.

Lim juga akhir-akhir ini sudah pandai menggunakan singkatan-singkatan ala milenial di media sosial. Terbaru ketika mengejek kenyataan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang di Twitter.

“...he (Mahathir) has left Umno 3 times. He might enter Umno again? Does opp want to believe him?” LOL ROTFL Zainal actually attacking UMNO! (Merujuk kepada Datuk Zainal Abidin Osman)

Saya pun tak guna singkatan ROTFL (Rolling On The Floor, Laughing). Lim lebih milenial berbanding saya.

Kedua-dua gergasi politik ini, meski sudah lanjut usia dan tidak sekufu dengan geng batik ketat ala Khairy Jamaluddin, nampaknya tidak kurang hebat memujuk minat anak muda terhadap politik berbanding demikian ramai pemimpin politik muda yang bercakap soal-soal orang tua dengan bahasa yang skema dan tidak menarik belaka.

Bukanlah maksudnya politisi muda perlu berbahasa ‘lu’ dan ‘gua’ atau semedang asyik ‘LOL’ dan ‘Lulz’ di media sosial; apatah lagi 24 jam kerjanya berswafoto dan mengambil gambar makanan untuk dimuat ke Instagram.

Politisi muda lebih harus berinteraksi secara tulus ikhlas, tanpa perlu ‘poyo-poyo’ dengan pangkat dan intelek masing-masing. Jika tidak, seratus tawaran untuk anak muda menjelang pilihanraya pun tak ada yang akan peduli. Bagaimana mahu peduli kalau imaginasi dan tumpuan anak muda pun tidak boleh dipujuk?

Milenial Malaysia mungkin sahaja sudah jemu dengan politik bukan kerana mereka tidak peduli, tetapi bahasa dan pendekatan yang kita gunakan langsung tidak memberi kesan.

Hatta rencana panjang seperti ini pun mereka tidak akan baca. Barangkali saya akan terpaksa memecahkan ayat demi ayat dalam bebenang panjang di Twitter, barulah mereka peduli.

Di zaman 140 aksara, dan perkongsian video yang ghaib selepas 24 jam usia, mungkin parti-parti politik akan terpaksa berkempen menawarkan manifesto serta dasar dengan hanya menggunakan emoji. – 15 Julai, 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen