USAHA Putrajaya untuk membanteras rasuah boleh jadi lebih berkesan jika membabitkan semua wakil rakyat, termasuk daripada pembangkang dan menjadikan pengisytiharan aset sebagai undang-undang, kata beberapa ahli Parlimen.
Mereka berkata walaupun kod etika yang dijelaskan dalam satu taklimat kepada mereka semalam amat baik dan satu garis panduan yang berguna, ia tetap hanya satu kod.
Ahli Parlimen Kluang Wong Su Qi berkata tidak ada undang-undang yang mengikat ahli Parlimen atau menteri mematuhinya.
“Bagi menjadikan ia lebih berkesan, ia patut dikenakan kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti,” kata Wong daripada DAP yang akan menyertai Parlimen buat kali pertama apabila persidangan bermula minggu depan, selepas menang kerusi Kluang pada PRU14.
Bagaimanapun, katanya beliau mengalu-alukan usaha Putrajaya untuk membanteras rasuah dengan meyakinkan dulu menteri dan ahli Parlimen.
“Bahagian tentang perbelanjaan bajet kawasan Parlimen amat berguna untuk ahli Parlimen penggal pertama seperti saya,” kata Wong.
Wong, 35, seorang bekas wartawan pernah menjadi Adun Senai (2013-2018), tetapi berkata tidak pernah menghadiri taklimat kod etika di bawah kerajaan terdahulu.
Wong antara 160 menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen Pakatan Harapan yang diberikan taklimat sehari oleh Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) yang diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abu Kassim Mohamed.
Antara topik yang dijelaskan semalam ialah pengisytiharan aset, penerimaan hadiah, fungsi GIACC, pengurusan peruntukan kawasan dan Akta SPRM 2009.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata taklimat itu penting untuk wakil rakyat memahami dan bekerjasama dengan SPRM dalam menangani rasuah di negara ini.
“Jangkaan terhadap kerajaan baharu dan ahli Parlimennya sangat tinggi kerana rakyat Malaysia mengharapkan kami bersih dan jadi efektif,” katanya selepas taklimat itu.
“Kami perlu jadi contoh dan cegah rasuah dari atas supaya kos projek tidak meningkat dengan kos berlebihan.”
Fahmi berkata ahli Parlimen dan menteri perlu melawat SPRM di Kuala Lumpur untuk melihat cara kerja mereka dan cuba menjadi pelengkap kepada agensi anti rasuah itu.
Isytihar aset dan menerima hadiah
Fahmi berkata ahli Parlimen PH juga dijangka mengisytiharkan aset mereka dalam tempoh tiga bulan selepas mengangkat sumpah.
Katanya, pengisytiharan itu akan dimuat naik di laman web SPRM.
“Kami juga akan memberikan maklumat tentang aset dimiliki oleh ahli keluarga walaupun senarai kedua itu mungkin tidak didedahkan kepada umum,” kata wakil rakyat PKR itu, yang sudah pun mengisytiharkan asetnya sebelum PRU14.
“Ia sesuatu yang sudah pun diamalkan dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Fahmi berkata Akta SPRM tidak mengehadkan tindakan terhadap wakil rakyat saja tetapi juga kepada ahli keluarga.
Wong berkata bukan saja ahli keluarga terdekat tetapi cucu cicit mereka juga tidak dibenarkan mendapat manfaat daripada sebarang kontrak yang dikeluarkan.
Tambahan lagi, wakil rakyat PH kini perlu melaporkan jika menerima sebarang hadiah bernilai RM500 ke atas, kata Wong.
“Dan jika nilainya melebihi RM5,000, kami perlu membuat laporan kepada perdana menteri dan mendapatkan kelulusannya,” kata Wong.
Fahmi berkata ini permulaan yang baik untuk Malaysia jika ia serius mahu menangani rasuah.
“Rakyat akhirnya akan nampak kelemahan dalam sistem itu. Tetapi buat masa sekarang kami berharap dapat tutup kelemahan sedia ada dan menunaikan janji kami.” – 11 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan