MALAYSIA belum memaklumkan Singapura “secara rasmi” tentang rancangannya mengenai projek landasan kereta api laju (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dengan republik itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Tetapi mereka tahu apa yang kita mahu,” kata Dr Mahathir, menjawab soalan wartawan pada sidang media di Putrajaya pagi ini.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kemahuan Malaysia itu.
Dr Mahathir berkata Malaysia perlu menimbang dengan cermat sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi kerana pengumuman itu nanti boleh mengejutkan pasaran.
Dr Mahathir ditanya mengenai kenyataan menteri-menteri di Singapura bahawa republik itu menanggung kos projek HSR kerana ia masih meneruskan tanggungjawabnya di bawah perjanjian projek itu, sementara menunggu Malaysia membuat keputusan muktamad mengenainya.
Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan memberitahu Parlimen republik itu semalam, kerajaan Singapura membelanjakan sehingga S$250 juta (RM744 juta) untuk projek HSR dan dijangka akan membelanjakan tambahan S$40 juta (RM119 juta) menjelang hujung tahun ini.
“Keputusan tidak dibuat dengan begitu mudah. Apabila kita membuat keputusan mengenai sesuatu perkara dan mengumumkannnya, kita mendapat reaksi negatif.
“Malah apabila kita mendapati berlaku salah laku, pelabur bawa keluar duit.
“Sebab itu kita mengambil langkah berhati-hati sebelum berkata apa-apa,” kata Dr Mahathir. – 10 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan