Umno tak lumpuh walau akaun dibeku, kata Asyraf Wajdi


Yasmin Ramlan

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membekukan akaun bank milik Umno dan pemimpin-pemimpinnya tidak sesekali akan melumpuhkan kebangkitan parti Melayu itu, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Julai, 2018.

TINDAKAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) membekukan akaun bank milik Umno dan pemimpin-pemimpinnya tidak sesekali akan melumpuhkan kebangkitan parti Melayu itu, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pemuda Umno itu berkata tindakan itu tidak akan membantutkan program yang akan dilaksanakan parti.

“Jangan ingat mereka (kerajaan) bekukan akaun kita, Umno akan lumpuh.

“Sebaliknya apabila kita ditekan, semangat akar umbi Umno semakin membara, mereka bertambah ‘garang’ untuk berjuang,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Sebelum ini, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan akaun bank parti tersebut sehari selepas pengumuman yang ia akan menyalurkan semula dana kepada bahagian parti.

Menurutnya, ketika Umno memegang tampuk pemerintahan negara, ia tidak pernah mengekang parti lawan dengan membekukan akaun bank walaupun Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pernah menggantung penubuhan Bersatu.

“Umno tak pernah kekang parti politik yang dulunya pembangkang.

“Walaupun Bersatu pernah digantung oleh ROS tapi tidak pula kita bekukan akaun mereka,” jelasnya.

Asyraf yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri sebelum ini memaklumkan bahawa semua perbelanjaan operasi parti akan ditanggung sendiri oleh Pemuda Umno di peringkat negeri.

“Meskipun akaun parti dibekukan, program Pemuda Umno masih berjalan kerana kita telah amalkan budaya baharu iaitu akar umbi sedia berkorban, mereka kumpul dana untuk adakan jamuan dan membiayai penginapan ketua mereka.

“Misalnya dalam siri jelajah ke Sabah, saya hanya membayar tiket penerbangan, kami tidak tinggal di hotel sebaliknya hanya bermalam di rumah pemimpin Pemuda di sana, jamuan pula hasil kutipan dana. Kini kita amalkan budaya pengorbanan demi perjuangan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan kerajaan yang berhasrat untuk menggubal akta pembiayaan dana politik bagi menghalang penyokong dan ahli parti memberi derma yang menjurus kepada amalan rasuah.

“Saya rasa kita memang dah lama dah nak gubal akta tersebut, sebab dulu mendapat tentangan daripada pihak parti yang hari ini dah jadi pemerintah, dulu pembangkang.

“Bagi kami, kita harus bersifat telus dalam konteks sumbangan-sumbangan yang nak diberikan kepada parti politik dan ini akan memberikan satu isyarat dan mesej yang jelas kepada rakyat bahawa tidak ada apa yang perlu kita sorokkan apabila kita ada akta sedemikian.

“Ini bukan perkara baharu ia dah diamalkan di banyak negara maju,” katanya.

Tambahnya, akta tersebut perlu untuk memastikan tidak wujud sangkaan buruk apabila ada pihak yang menyumbang kepada mana-mana parti politik.– 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen