Pemuda Umno desak SPRM batal beku akaun parti


Pembekuan akaun Umno merupakan satu tindakan melampau yang langsung tidak mencerminkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau adalah ketua baharu dilantik bersama Naib Ketua Pemuda Shahril Hamdan (kanan). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

PEMUDA Umno menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tindakan pembekuan akaun parti itu kerana pihak berkuasa masih boleh menjalankan siasatan tanpa langkah tersebut.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memohon agensi anti rasuah itu memberi pertimbangan khas kepada akaun Umno supaya parti Melayu itu boleh menanggung operasi perbelanjaan harian mereka.

“Justeru Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mendesak SPRM menarik balik tindakan pembekuan akaun Umno kerana siasatan masih boleh dilakukan tanpa perlu menganiayai operasi parti yang sah dalam amalan demokrasi Malaysia Baharu.

“Dengan itu Pemuda Umno memohon SPR memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dan lain-lain aktiviti yg bersifat ‘ordinary course of business’ dibenarkan melalui akaun-akaun yg dibekukan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemangku presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan SPRM bertindak membekukan akaun Umno sehari selepas mengumumkan parti itu akan menyalurkan semula dana kepada bahagian parti.

Sambil membantah tindakan itu, Asyraf berkata pembekuan akaun parti itu merupakan satu tindakan melampau yang langsung tidak mencerminkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

“Di era kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak pernah kerajaan sesuka hati membekukan akaun parti lawan, walaupun para pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah. 

“Apakah ini sebahagian daripada model ‘Malaysia Baharu’ yang dicanangkan, namun pada masa sama sewenangnya membuli parti lawan yang tidak sehaluan,” kata Asyraf.

Menurutnya, tindakan pembekuan tersebut bukan sahaja akan menganiayai pekerja-pekerja parti yang akan menerima kesan terhadap pembayaran gaji bulanan mereka, malah boleh merencatkan operasi parti yang bergerak secara sah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas.

Tindakan itu katanya hanya akan menggambarkan sikap sebenar PH yang rakus untuk melumpuhkan kekuatan Umno, yang kini masih merupakan parti tunggal terbesar yang mewakili suara Melayu Islam dalam Dewan Rakyat. 

Asyraf berkata, SPRM juga seharusnya dapat memberikan justifikasi jelas, telus dan terbuka tentang punca sebenar tindakan terbabit.

“Lazimnya dalam operasi-operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan telah dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat. 

“Sebaliknya ahli Umno tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan yang melibatkan perlanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi Umno,” katanya. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen