Umno tidak perlu kempen benci kerajaan, kata ketua baru Wanita


Nabihah Hamid

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad meluahkan rasa bimbang sekiranya kerajaan akan menyekat kebebasan rakyat untuk bersama parti terbesar Melayu itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Julai, 2018

UMNO tidak akan menyebar kebencian kepada kerajaan sebaliknya akan jadi pembangkang yang sebenar-benarnya dengan memantau setiap tindakan kerajaan, kata ketua sayap wanita parti itu.

Noraini Ahmad, yang terpilih mengetuai Wanita Umno Malaysia hujung minggu lalu berkata, Umno tidak perlu jadi penghasut dan menggunakan elemen kebencian untuk sokongan rakyat. 

“Apa peranan kita sebagai pembangkang? Check and balance. Kita kena tengok apa yang kerajaan sekarang hendak buat. 

“Dia (Pakatan Harapan) sebelum menang (pilihan raya umum) apa yang dijanjikan? Dan adakah terlaksana sebab dia memberi satu tempoh sangat pendek iaitu 100 hari,” katanya dalam wawancara dengan TMI.

Pakatan Harapan yang menyingkirkan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu berjanji menunaikan 10 perkara dalam tempoh 100 hari pertama jadi kerajaan di Putrajaya.

Beberapa pihak kemudian termasuk bekas veteran Umno, Rafidah Aziz yang berkempen untuk PH semasa PRU14 meminta rakyat “mengabaikan” janji itu kerana “perubahan yang positif akan memakan masa”.

Selepas sebulan jadi kerajaan, PH menunaikan empat daripada 10 janji itu termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta menangguhkan pembayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi mereka yang berpendapatan kurang RM4,000.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata, janji 100 hari itu sukar ditunaikan kerana kerosakan yang dilakukan oleh BN kepada sistem dan negara terlalu teruk di luar jangka.

Menurut Noraini, sebagai pembangkang, Umno tidak akan menggunakan slogan untuk melawan PH sebaliknya akan mengatur strategi untuk mengukuhkan parti dan menarik semula sokongan rakyat terutamanya bukan Melayu.

Beliau juga melihat Umno yang kali pertama jadi pembangkang di Dewan Rakyat ada kelebihan untuk meraih sokongan daripada trend “rakyat yang membangkang”.

Namun Ahli Parlimen Parit Sulong itu bimbang kerajaan akan menyekat kebebasan rakyat untuk bersama parti terbesar Melayu itu. 

“Kita boleh tarik trend ‘membangkang’ sebab ramai lagi orang yang setia dan hendak bersama Umno… kalau tiada budaya ugut, seperti pergi dengan Umno akan hilang kerja. 

“Ini adalah demokrasi di Malaysia. Jangan kerajaan kata pergi pejabat Wanita Umno, hilang kerja. 

“Saya percaya, bagi mereka peluang untuk bersama-sama dengan kita. Mereka tak perlu ada jawatan, mereka boleh berikan idea-idea. 

“Saya percaya kalau kita lebih buka lagi (Umno), ramai lagi akan beri idea sangat bernas,” katanya, yang mahu lebih ramai lagi wanita Melayu menyertai Umno untuk parti itu jadi pembangkang lebih berkesan. 

Menjawab pertanyaan siapa sesuai mengetuai blok pembangkang di Parlimen, Noraini berkata, individu itu tidak perlu menjadi ‘singa’ di Dewan Rakyat sebaliknya mampu menyatukan barisan ahli parlimen pembangkang.

“Perlu tegas dan boleh menyelaraskan kita, maknanya boleh memimpin dan beri petunjuk kepada kami semua selaku wakil rakyat dari blok pembangkang, dan boleh menyatukan,” katanya.

BN mempunyai 54 kerusi di Dewan Rakyat, dengan Umno menguasai 51 kerusi manakala bakinya MCA (1) dan MIC (2).– 9 Julai, 2018

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bersatu dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara dan hasilnya akan mengagumkan

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • UMNO sudah lama ada kempen benci-membenci, kamu fikir Zahid akan tiba-tiba ubah dan insaf dengan kelakuan yang membinasakan masyarakat dan mementingkan diri sendiri. Zahid tak kisah tentang sesiapa dan hanya ingin memperkuatkan kedudukannya dan menastikan habuannya selama ini boleh dinikmati. Yang sedar akan keluar UMNO...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jesse Lingard · Ulasan

  • UMNO sudah lama ada kempen benci-membenci, kamu fikir Zahid akan tiba-tiba ubah dan insaf dengan kelakuan yang membinasakan masyarakat dan mementingkan diri sendiri. Zahid tak kisah tentang sesiapa dan hanya ingin memperkuatkan kedudukannya dan memastikan habuannya selama ini boleh dinikmati. Yang sedar akan keluar UMNO...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jesse Lingard · Ulasan

  • UMNO patut ubah sikap mereka, jangan seperti sebelum ini. perkataan rasis, seksis dan sebagainya selalu dilemparkan kepada khalayak ramai. statement2 bodoh dan tak masuk akal seperti ketua anda juga patut dibuang. buang semuanya kalau mahu rakyat menyokong anda.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Dee jong · Ulasan

  • Check and balance? Saperti yang kamu menyalak Melayu, Melayu, Melayu di mahkamah baru baru ini? Perbuatan bodoh kamu dan ahli wanita UMNO pada hari itu ada lah satu confirmation yang kamu bankrupt idea. Perbuatan kamu hari itu sangat memalukan.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Azmi Arif · Ulasan

  • Check and balance? Saperti yang kamu menyalak Melayu, Melayu, Melayu di mahkamah baru baru ini? Perbuatan bodoh kamu dan ahli wanita UMNO pada hari itu ada lah satu confirmation yang kamu bankrupt idea. Perbuatan kamu hari itu sangat memalukan.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Azmi Arif · Ulasan

  • Kalau hendak benci mesti ada sebabnya. Dulu UMNO beri banyak alasan untuk rakyat membenci. PH mungkin kurang, biar kita pantau saja kelakuaan PH untuk 5 tahun ini.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan