SATU petisyen atas talian yang telah berjaya mengumpul ribuan tandatangan dari rakyat Malaysia menuntut Putrajaya menyiarkan perbicaraan Najib Razak secara langsung di kaca televisyen.
Petisyen dimulakan oleh Karim Yasin itu, yang menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyiarkan perbicaraan itu di RTM1, berjaya mengumpul lebih daripada 13,500 tandatangan.
Antara sebab gesaan itu ialah kerana perbicaraan Najib melibatkan kepentingan umum dan supaya ia dijalankan secara telus.
Petisyen berkenaan juga dimulakan sebagai sumber tambahan bagi Tabung Harapan di mana hak penyiaran RTM itu boleh dijual kepada penyiar di seluruh dunia.
Menurut peguam, Surendra Ananth, penyiaran secara langsung itu boleh dijalankan, namun ia bergantung kepada badan kehakiman.
“Saya tak fikir undang-undang melarang. Akta Mahkamah Kehakiman 1964 mengkehendaki semua perbicaraan dijalankan secara terbuka.
“Tujuannya ialah bagi memastikan ketelusan proses kehakiman, iaitu keadilan dilihat dilaksanakan. Siaran langsung perbicaraan selari dengan matlamat ini,” beliau memberitahu The Malaysian Insight ketika dihubungi.
Beliau berkata perbicaraan secara langsung juga boleh mempengaruhi prosiding melalui tingkah laku saksi.
“Bagaimanapun, siaran langsung perbicaraan mungkin akan mengubah tingkah laku saksi. Orang mungkin akan bersikap lain apabila ada kamera di depan mereka, mengetahui seluruh dunia sedang menonton mereka.
“Ia akan tetap terpulang kepada hakim, tetapi tiada undang-undang yang melarangnya,” kata Surendra.
Pada 4 Julai, Najib, 64, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Mahkamah Tinggi telah menetapkan Najib diikat jamin pada RM1 juta dan membenarkan beliau membayar RM500,000 pada hari pertuduhan dan bakinya esok. Najib dijamin oleh anak-anaknya, Nooryana Najwa, 30, dan Norashman, 27.
Mahkamah juga mengarahkan Najib menyerahkan pasportnya. – 8 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan