SEPANJANG lima hari berkelana di Australia Barat, saya mendengar bagaimana kalimat ‘terima kasih’ dan ‘minta maaf’ meniti di bibir warga negara itu beratus-ratus kali sehari. Tentunya bukan dalam Bahasa Melayu.
Sorry, thank you, have a good one, sekadar beberapa contoh, menjadi ungkapan lazim di kedai, restoran, hotel, malah dalam pengangkutan awam.
Kita berlaga bahu dengan dia, dia yang minta maaf. Turun dari mengenderai bas percuma di ibu kota, pemandunya dari depan berteriak ke pintu belakang, mengucapkan selamat dan terima kasih. Si penumpang juga membalas sama. Masing-masing santun.
Hanya di satu tempat sahaja saya tidak temukan pekedai yang mengucapkan salam atau mengatakan terima kasih setelah menerima bayaran – sebuah restoran makanan Malaysia, di tengah-tengah bandar Perth. Senyum pun tidak. Nama kedainya tidak perlulah saya sebut.
Sukar untuk saya tidak merasa hairan. Apa yang mereka makan sehingga begitu tinggi budi pekerti berbanding orang kita? Adakah kerana mereka makan kari kepala kanggaru, maka boleh jadi begitu? Atau mungkin kanggaru masak lemak, kerutup kanggaru, kanggaru tiga rasa, serunding kanggaru.
Itu sahaja teori yang saya ada, kerana itu sahaja bezanya Malaysia dan Australia. Kita tak ada kanggaru. Adakah kerana tidak ada kanggaru maka kita tak reti senyum dan ucap terima kasih?
Bukanlah saya menghukum seluruh bangsa kita sebagai bodoh, pemalas, tidak beradab dan sebagainya. Jauh sekali. Tetapi amat susah untuk kita tidak membanding dengan contoh-contoh yang lebih baik, dan bertanyakan kenapa kita tidak seperti mereka. Apa rahsianya?
“Adakah budak sekolah Cina pandai matematik kerana dia makan babi masak merah?”
Demikian soal guru saya di sekolah dulu. Kami ketawa. Dia serius. Mesejnya mudah. Bukan apa yang kita makan menentukan sikap dan pembawaan kita. Tetapi pendidikan dan ajaran budaya.
Saya tidak sempat menelaah sistem pendidikan Australia untuk memahami bagaimana bangsanya belajar untuk menjadi manusia yang punya kesedaran sivik tinggi. Namun hasil pendidikan itu ternyata dapat dilihat di mana-mana.
Taman botani King’s Park contohnya, tidak menyediakan tong sampah kecuali di pusat maklumat pengunjungnya yang terdapat kedai makan. Padang-padang rumput dan laluan pejalan kakinya bersih tanpa secebis sampah.
Dan bukan hanya satu taman itu sahaja, bahkan taman-taman lain pun serupa. Sebodoh-bodoh padang rumput seperti Wellington Square berdekatan tempat saya menginap pun seribu kali ganda lebih bersih berbanding apa yang boleh kita temukan di tanah air.
Itu belum ditambah perihal tandas awamnya yang bersih dan wangi. Kalau bukan kerana tandasnya hanya membekalkan kertas tisu, jujur memang rasa tak mahu balik.
Alangkah indahnya kalau di negara sendiri pun begitu keadaannya.
Malaysia Baharu justeru harus punya keazaman untuk bukan sekadar mengubah rejim, tetapi juga mentaliti anak bangsa. Ini bagi saya adalah kerja besar yang harus digalas teman-teman yang berbondong-bondong menyertai kerajaan.
Mengisi kemenangan ertinya bukan sekadar menggali ghanimah dan jawatan untuk kepentingan nafsi-nafsi. Malah membawa agenda besar reformasi bangsa, membuang jauh nilai-nilai regim lama; dan mendidik kerendahan hati sesuai dengan cita-cita Impian Malaysia sebagai sebuah negara yang aman makmur, adil dan sejahtera buat semua tanpa mengira latar kaum, agama, politik dan daerah.
Malang bagi kita barangkali, Malaysia pasca 9 Mei masih lagi bergelut dengan politik perkauman, agama dan berbahas kenapa Tommy Thomas mengadakan sidang medianya dalam Bahasa Inggeris.
Malaysia pasca 9 Mei masih dicandui politik masa silam berbanding agenda ke hadapan untuk membalut luka ibu pertiwi dan membaiki segala yang rosak. Dua bulan berlalu setelah United Malays National Organisation kecundang, kita masih dalam keadaan yang serupa: membudayakan mabuk pembodohan dan meraikan para penyamun.
Sementara kita menanti mereka ini habis mabuk, ada baiknya kita memulakan perubahan-perubahan lain yang mampu kita lakukan sendiri tanpa menunggu orang. Mungkin dengan sepatah terima kasih, ‘excuse me’ atau paling teruk pun menyalakan lampu signal ketika membelok.
Bila sudah terbiasa begitu, mungkin boleh berjinak-jinak dengan tabiat-tabiat lain, seperti tidak merokok berhampiran kanak-kanak, atau mengangkat tangan ucap terima kasih apabila pemandu lain memberi laluan.
Bukan susah pun sebenarnya. Perkara begini tidak perlu diajar. Takkanlah sampai kena bela kanggaru dalam rumah baru nak ada akal, kan? – 9 Julai, 2018.
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen