Pemimpin Umno tidak hadir pada prosiding Najib kerana bercuti


Melati A. Jalil

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam sedia untuk mempertahankan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Julai, 2018

APABILA Najib disoal siasat pihak berkuasa dan beberapa kediaman yang dikaitkan dengannya diserbu, pemimpin Umno menyatakan ia adalah dendam politik oleh kerajaan baharu.

Namun, ketika beliau didakwa dengan penyelewengan pada Rabu, hanya segelintir ahli Majlis Tertinggi parti yang muncul membantah apa yang mereka dakwa sebagai prosiding bermotifkan politik.

Apa alasannya? Kebanyakan mereka sedang bercuti, kata ahli Majli Tertinggi Lokman Noor Adam, yang mendedikasikan dirinya untuk memulihkan imej bekas perdana menteri yang tercemar.

“Selepas pemilihan parti, ramai yang mahu berehat dan pergi bercuti. Tidak mungkin untuk mereka kembali dari luar negara hanya untuk hadir pada prosding mahkamah yang tidak dijangka,” kata Lokman kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pemimpin kanan Umno tiada masalah untuk hadir ke mesyuarat Majlis Tertinggi pada hari yang sama selepas itu di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

“(Pendakwan Najib) tergesa-gesa untuk alihkan perhatian terhadap isu sebenar, yang mana Pakatan Harapan gagal untuk menunaikan janji (pilihan raya) mereka,” kata Lokman.

Beliau menjawab dakwaan bahawa Umno telah mengabaikan Najib, sebagaimana yang ditunjukkan dengan jumlah kehadiran yang sedikit di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di mana beliau didakwa dengan empat pertuduhan membaitkan wang yang diambil daripada syarikat berkaitan kerajaan.

Najib, 64, didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai kerajaan untuk menerima RM42 juta rasuah sebagai dorongan untuk memberi jaminan bagi pihak kerajaan Malaysia bagi pinjaman RM4 bilion daripada Tabung Persaraan kepada SRC International Sdn Bhd.

Selain ketua daripada tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, hanya dua ahli Majlis Tertinggi dilihat di kompleks mahkamah - Noh Omar dan Lokman.

Pemimpin Umno paling lama yang hadir adalah naib presiden parti Ismail Sabri Yaakob.

Beberapa ahli Majlis Tertinggi bagaimanapun melawat Najib di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada petang selepas beliau didakwa.

Pendakwaan 1MDB satu “penipuan”

Lokman merupakan bekas ahli PKR yang bekerja di bawah Najib sebagai pengarah komunikasi strategik di Kementerian Kewangan.

Beliau langsung tidak percaya sebarang dakwaan yang dituduh ke atas bekas ketuanya.

“Apa yang dibuat ke atas Najib adalah salah. Saya tahu apa perkar ayang beliau dituduh tidak benar, dan itu sebabnya saya berpendirian untuk pertahankan Najib.

“Terlalu banyak pembohongan dikenakan kepadanya.”

“Salah satu “penipuan” ialah Najib “mencuri” RM2.6 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad.

“Orang Umno sendiri percaya perkara ini. Apabila beliau didakwa di mahkamah, ia bukan sebab RM2.6 bilion,” kata Lokman.

Pendakwaan Najib melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, yang ditubuhkan beliau dan pernah mengetuai lembaga penasihatnya. 

Memantau PH 

Lokman kini menerajui Pemantau Malaysia Baru, sebuah kumpulan yang menyasarkan untuk memantau kerajaan PH berikutan kejatuhan Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Pemantau akan menerbitkan buku untuk menyemak semula 100 hari PH di Putrajaya.

“Tiada siapa yang memantau kerajaan sekarang, dan mereka tidak tunai apa yang mereka cakap. Mereka bercakap tentang tadbir urus yang baik, peraturan undang-undang. Tetapi, apa yang mereka lakukan bertentangan dengan prinsip.

“Perlu ada beberapa pihak yang memantau mereka dari masa ke semasa dan setiap kali mereka melakukan kesilapan, kami akan menegur dan merekod kesilapan itu.

“Jadi, selepas 100 hari kami akan mewujudkan buku untuk menunjukkan bahawa mereka adalah pembohong.

“Kita boleh tunjuk dengan jelas bahawa BN adalah pakatan yang lebih baik,” katanya dan menambah Pemantau ialah organisasi masyarakat sivil yang mesra BN.

Beliau mendakwa kumpulan itu mempunyai 30,000 ahli, yang menyertai Facebook dan Telegram Pemantau.

Pada Jumaat, Pemantau dan Pergerakan Hak Asasi dan Sivil Malaysia membuat laporan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Shukri Abdull kerana didakwa berbohong mengenai pendakwaan terhadap Najib. – 8 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Jadi, selepas 100 hari kami akan mewujudkan buku untuk menunjukkan bahawa mereka adalah pembohong."

    belum pun 100 hari mereka telah berjanji untuk mengeluarkan buku..jadi apakah buku itu sudah lama siap untuk di terbitkan jadi fakta apa yang ada sehingga begitu yakin dalam masa 100 hari janji itu pasti gagal di laksanakan..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan