Felda alu-alukan siasatan SPRM


Amin Iskandar

Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad memberi jaminan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam penyiasatannya supaya dapat menggembalikan zaman kegemilangan Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2017.

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalu-alukan siasatan terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti diumumkan semalam.

Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad berkata, beliau amat gembira membaca berita SPRM menerima maklumat baharu berhubung satu penyiasatan kes lama yang melibatkan organisasi itu.

“Saya berharap maklumat baru ini akan membantu SPRM dalam siasatannya terhadap apa-apa perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Felda,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam ini.

Semalam SPRM mengumumkan akan mula menyiasat Felda berdasarkan bukti baharu yang mereka temui.

Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata pada April tahun ini, pengurusan Felda dan kakitangannya melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah SPRM dan Whistleblowing Policy untuk memperkukuh integriti mereka.

“Integriti harus menjadi prinsip utama dalam Felda supaya kami dapat terus memberi tumpuan dalam memberikan nilai kepada stakeholder utama kami,” katanya.

Shahrir berkata, Felda akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam penyiasatannya supaya dapat menggembalikan zaman kegemilangan syarikat itu.

“Sekiranya kita benar-benar boleh ‘balik asal’ sebagai sebuah organisasi yang bersih, cekap dan boleh dipercayai, saya pasti stakeholders kita akan mendapat tempias positifnya,” katanya. – 11 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen