SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka satu kertas siasatan baharu terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), lapor Bernama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata, tindakan itu dibuat selepas mereka menerima maklumat baharu mengenai satu isu yang melibatkan Felda.
“Saya sudah mengarahkan satu kertas siasatan dibuka dan kita akan keluarkan kenyataan akhbar dalam masa terdekat,” katanya di Kuala Lumpur hari ini, seperti dilaporkan Bernama.
Dzulkifli bagaimanapun memaklumkan siasatan membabitkan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) masih diteruskan.
Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila bekas pengerusi Isa Samad dan lembaga pengarahnya mengarahkan ketua pegawai eksekutifnya Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti pada 6 Jun lalu.
Susulan krisis itu, Putrajaya melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.
Tidak lama selepas itu, Putrajaya melantik Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV menggantikan Isa yang meletakkan jawatan dan kini memangku jawatan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). – 10 Julai, 2017.
Komen