PENGARAH Bukan Eksekutif Bebas Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Dr Sulaiman Mahbob akan dilantik menggantikan Isa Samad sebagai pengerusi baharu syarikat perladangan terbesar dunia itu, lapor Berita Harian (BH).
Memetik sumber, BH melaporkan pengumuman pelantikan Sulaiman dijangka dibuat hari ini.
Sulaiman, 67, juga pengerusi Telekom Malaysia (TM) dan pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.
Beliau juga profesor adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tun Abdul Razak dengan mengajar bidang Ekonomi dan Dasar Awam.
Sulaiman, lulusan Ekonomi dari UM, menyambung pengajian di University of London. Beliau memperoleh PhD di Maxwell School of Citizenship dan Public Affairs di Syracuse University, Amerika Syarikat pada 1986.
Kemelut FGV bermula apabila Isa mengarahkan ketua pegawai eksekutif Zakaria Arshad bercuti sehingga selesai siasatan kes “hutang tertunggak Safitex Trading dengan Delima Oil Products Sdn Bhd”.
Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim, turut diarahkan untuk bercuti, pada 6 Jun lalu.
Zakaria dan Tifli juga dikenakan surat tunjuk sebab berhubung kes itu.
Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis berkenaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam FGV dengan Zakaria turut memberi keterangan kepada badan itu. – 19 Jun, 2017.
Komen