WALAUPUN wujud petanda menggalakkan pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan kepada graduan baru atau pekerja kilang yang dibuang masih suram.
Persatuan Majikan Malaysia (MEF) berkata majoriti syarikat tidak mencari pekerja baru malah ada yang masih dalam proses penstrukturan semula dan membuang pekerja.
“Banyak yang mengamalkan sikap ‘tunggu dan lihat’, mereka mahu tunggu perkembangan selanjutnya,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada The Malaysian Insight.
“Kemampuan mereka untuk mencipta peluang pekerjaan baru untuk jawatan eksekutif muda dan tahap pertengahan semakin tercabar. Corak ini dijangka berterusan sehingga tahun depan,” kata Shamsuddin merujuk kepada pekerjaan peringkat permulaan yang selalunya diisi graduan.
Graduan ini seperti mereka yang ditemubual The Malaysian Insight mengatakan yang mereka sukar mendapatkan pekerjaan selepas berijazah kerana pasaran pekerjaan yang semakin sengit.
Ainatun Nadrah dan Saiful Naquib Mohd Yusoff terpaksa memulakan perniagaan sendiri selepas menghabiskan beberapa bulan mencari pekerjaan setanding kelayakan mereka tetapi gagal.
Pemerhatian MEF terhadap pasaran kerja semasa berlaku walaupun petunjuk yang dikeluarkan kerajaan menunjukkan perdagangan negara dengan negara lain- sumber pendapatan utama negara- meningkat dalam lima bulan pertama tahun ini.
Eksport untuk bulan Mei meningkat 32.5% tahun-demi-tahun kepada RM79.4 bilion, melangkaui kebanyakkan jangkaan pasaran.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed berkata yang angka perdagangan Malaysia pada April memberangsangkan dan menjangkakan kadar pertumbuhan perdagangan untuk 2015 pada kadar 5% boleh membawa kepada lebih banyak pembentukan pekerjaan.
Tetapi khabar itu diseimbangkan fakta yang Indeks Nikkei untuk pengurusan pembelian dan pembuatan (PMI)- petunjuk untuk sektor pembuatan- didaftakan pada bacaan terendah sejak lima tahun lepas.
Firma analisis pasaran IHS Markit berkata yang bacaan PMI sebanyak 46.9 pada Jun mencerminkan persekitaran perniagaan yang suram dalam sektor pembuatan yang merupakan 23% daripada keseluruhan ekonomi Malaysia.
Bacaan atas 50 mencerminkan pertumbuhan dalam sektor, sementara di bawah 50 bermaksud kelembapan.
Amaran berjaga-jaga
Salah satu sebab mengapa berita baik dalam perdagangan dan pemulihan ekonomi dunia tidak diterjemahkan kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan ialah kerana produktiviti tinggi yang memandu pemulihan itu tidak datang daripada pekerja sebenar, kata Shamsuddin.
“Syarikat meningkatkan produktiviti mereka dengan menggunapakai teknologi tinggi dan automasi, pada masa yang sama mengurangkan jumlah pekerja.
Misalnya, bank sudah melenyapkan antara 18,000 hingga 19,000 pekerjaan sejak beberapa tahun lepas ketika mereka menuju ke operasi pelanggan dalam talian.
“Perkara sama berlaku dalam industri insuran,” katanya.
Pada masa kini, teknologi baru membolehkan syarikat untuk melakukan lebih banyak perkara dengan jumlah pekerja yang sedikit, termasuklah mereka yang mahir dan graduan baru, kata Shamsuddin.
Mac lalu, laporan Bank Negara menyebut yang kadar pengangguran dalam kalangan belia mencecah 10.7% pada 2015, lebih tiga kali ganda berbanding kadar pengangguran negara yang berada pada kadar 3.1%.
Bacaan PMI Nikeei juga memberikan petanda kesihatan ekonomi dan pasaran kerja. Pesanan baru, hasil pengeluaran dan pekerjaan dalam sektor pembuatan meliputi 75% PMI itu, kata ahli eknomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.
“Penurunan pesanan baru adalah petunjuk kelemahan permintaan, satu amaran berjaga-jaga yang ekonomi mungkin akan bertambah sukar.
“Bagi berdepan dengan persekitaran perniagaan yang makin buruk dan petanda kejatuhan, indeks itu memberikan petunjuk pada Jun 2017 bagaimana pembuatan mengurangkan pengeluaran, menyekat peluang pekerjaan terutamanya pekerja baru dan memperkemas inventori.”
PMI jatuh mendadak pada Jun berbanding 50.7 pada April boleh memberikan amaran yang pertumbuhan ekonomi akan perlahan pada suku kedua tahun ini, kata Azrul.
Bagaimanapun, Azrul berkata masih belum jelas sama ada kejatuhan itu bersifat sementara atau petunjuk yang kelembapan sektor pembuatan akan bertambah buruk.
Masalah lain yang memberi kesan kepada pasaran kerja ialah angaran 200,000 peluang pekerjaan kerana persaraan sektor awam hanya akan berlaku pada Julai 2018, kata Shamsuddin daripada MEF.
Ini susulan tindakan kerajaan melanjutkan umur bersara wajib kepada 60 tahun pada 2013. Mereka yang berumur 55 dan ke bawah pada 2013 hanya akan bersara pada 2018.
“Tetapi walaupun 200,000 bersara pada Julai 2018, kerajaan mungkin sekali lagi melanjutkan umur bersara kepada 62 tahun pula.” – 11 Julai, 2017.
Komen