JAMAL Md Yunos, pemimpin Umno tahanan polis yang melarikan diri sejak 25 Mei dan ditangkap di Indonesia Isnin lalu, akan dihantar pulang oleh pihak berkuasa republik itu ke Malaysia hari ini, kata polis.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak berkuasa Indonesia akan mengekstradisi Jamal selepas semua urusan siasatan pada pihak mereka selesai.
Beliau juga memaklumkan pegawai dari Malaysia sudah ke republik itu semalam.
“Mungkin akan dihantar balik hari ini. Saya belum dapat pengesahan rasmi tetapi saya rasa hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.
Jamal yang melarikan diri dari sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor pada 25 Mei lepas ditahan oleh polis Indonesia di Jakarta pada petang Isnin lalu.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Mustafar Ali mengesahkan Jamal keluar dari negara dengan menggunakan “jalan tikus” dipercayai melalui Tanjung Balai, Indonesia.
Katanya, apabila dibawa balik ke Malaysia, Jamal juga akan didakwa atas kesalahan imigresen.
Bekas calon ketua pemuda Umno itu dikehendaki polis berhubung sembilan kes, termasuk melibatkan senjata api.
Semasa melarikan diri, Jamal sedang diproses untuk dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam bersabit tindakannya memecahkan botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam pada Oktober 2017.
Walaupun tidak berada di tanah air dan tidak hadir ke mesyuarat Umno Bahagian Sungai Besar hujung minggu lalu, Jamal mempertahankan jawatannya sebagai ketua bahagian itu.
Beliau mengalahkan pencabarnya yang juga bekas setiausaha Umno bahagian itu, Masloro Abdullah dengan kelebihan 107 undi. – 5 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Sabri Bakar · Ulasan