RAKYAT Malaysia nampaknya lebih peduli bahasa yang digunakan oleh Peguam Negara Tommy Thomas pada sidang akhbarnya, berbanding berbilion ringgit dana negara yang diseleweng, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata kekecohan semasa sedang akhbar Tommy awal hari ini adalah cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar, iaitu perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak.
“Saya sangat percaya ini hanya gangguan dari prosiding mahkamah.
“Kerana saya sangat yakin bahawa jutaan rakyat Malaysia di luar sana lebih mengambil berat untuk menyelamatkan berjuta duit dan aset yang diseleweng, berbanding sidang akhbar Tomm Thomas yang tidak mengikut kehendak mereka,” beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Media Sosial 2018 di Kuala Lumpur hari ini.
Mentri termuda itu mengulas tindakan penyokong Umno menjerit ketika Tommy memulakan sidang akhbar, memintanya bercakap dalam Bahasa Melayu, selepas prosiding pendakwaan Najib di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
Ini menyebabkan sidang akhbar itu berpindah ke tempat lain.
“Kalau mereka benar-benar menghormati mahkamah dan proses undang-undang, mereka akan benarkan sidang akhbar itu diadakan,” kata Syed Saddiq.
Blogger dan Exco Pemuda Umno, Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah antara ahli Umno yang hadir di mahkamah dan menjerit “Cakap Bahasa Melayu” kepada Tommy.
Najib pagi tadi didakwa dengan empat tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tiga melibatkan kesalahan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau mengaku tidak bersalah. Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin RM1 juta dan menetapkan pengurusan kes pada 8 Ogos ini dan tarikh perbicaraan sementara pada Februari dan Mac tahun depan.
“Jika terdapat salah laku, tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya, terutamanya kerana ia melibatkan berbilion duit pembayar cukai dan ini menjejaskan hidup jutaan rakyat Malaysia,” kata Syed Saddiq. – 4 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mohammad Simon Adam Sikat · Ulasan