Tiada pemilihan semula, kata DAP


Low Han Shaun

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat CEC di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari 8 Julai, 2017.

MENGADAKAN pemilihan parti sekali lagi bukan pilihan, kata jawatankuasa tertinggi dasar DAP hari ini dalam balasan kenyataan Jabatan Pendaftaran Persatuan (RoS) semalam yang mengatakan pemilihan jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) DAP itu yang dilakukan pada 2013 sebagai tidak sah.

“DAP dengan tegas menegaskan yang pemilihan semula sudah dilakukan selari dengan perintah dalam surat mereka (RoS) bertarikh 30 Julai 2013. Dan kerana itu persoalan mengadakan pemilihan baru tidak timbul,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Guan Eng mengatakan yang dia terkejut dengan kenyataan RoS semalam.

“Kami terkejut dengan kenyataan RoS mengarahkan kami melakukan pemilihan semula seperti yang dilaporkan dalam media semalam.

“DAP sudah melakukan pemilihan semula ahli CEC pada 29 September 2013 mengikut arahan RoS.

“Keputusan pemilihan semula itu dihantar kepada RoS pada 8 November 2013 selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan kami dan Akta Persatuan 1966. Jelas dinyatakan dalam laporan yang kami gunakan senarai delegasi parti 2012 melibatkan 2576 delegasi yang layak,” kata Guan Eng lagi.

Parti pembangkang itu turut mengatakan yang mereka akan cuba mengadakan pertemuan dengan agensi pendaftar persatuan itu sebaik sahaja mereka menerima surat rasmi RoS bagi mendapatkan penjelasan.

Penasihat undang-undang parti Gorbind Singh yang juga berada di sidang media itu berkata berasaskan undang-undang, CEC DAP kini masih lagi sah dan parti itu perlu menunggu surat rasmi RoS sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Berasaskan perundangan, kami perlu menunggu surat itu terlebih dahulu, kerana mereka mesti memaklumkan keputusan itu kepada kami.

“Ada kesan perundangan, had masa dan perkara seperti itu tetapi ia hanya bermula daripada masa surat itu diberikan, kerana itu saya katakan selaku peguam, apa yang perlu dilakukan RoS ialah menghubungi kami terlebih dahulu,” katanya.

Tambahnya, RoS tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan terbuka kerana ia merumitkan urusan perundangan dan RoS sepatutnya menulis untuk memaklumkan DAP terlebih dahulu.

“RoS tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan terbuka dan sepatutnya menulis kepada kami untuk memaklumkan keputusan itu, tanpa surat itu, kami tidak pasti tentang keputusan itu secara terperinci.

“Kami harap surat itu akan dihantar kepada kami secepat mungkin kemudian barulah kami boleh berjumpa dan berbincang mengenai perkara ini.

Jabatan Pendaftar Persatuan sebelum ini mengisytiharkan CEC DAP sebagai tidak sah. DAP kemudiannya mengadakan mesyuarat tergempar pada jam 2 petang hari ini untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

Kemelut DAP dengan RoS bermula selepas kesilapan teknikal yang menyebabkan keraguan sewaktu pengundian undi semasa pemilihan parti pada Disember 2012.

Kesilapan itu kemudiannya diperbaiki tetapi ahli yang tidak gembira memfailkan aduan kepada RoS, menyebabkan CEC yang dipilih diisytiharkan sebagai tidak sah. DAP kemudiannya mengadakan pemilihan semula pada September 2013.

Disebabkan ketidakpastian dengan RoS, ada kebimbangan yang calon DAP mungkin tidak dapat bertanding semasa pilihan raya umum 2013 menggunakan logo parti. Bagaimanapun, calon DAP dibenarkan bertanding dalam pilihan raya tanpa sebarang bantahan.

RoS mengambil masa empat tahun mengesahkan CEC DAP dan dianggap sudah berakhir, sehinggalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Najib Razak, Tengku Sarifuffin Tengku Ahmad mengingatkan parti pembangkang itu yang CEC nya tidak diiktiraf. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen