PENGECUALIAN cukai pelancongan akan diberikan kepada mana - mana agensi pelancongan yang terikat dengan tempahan awal mengikut tempoh kontrak berakhir pada 1 Mac depan, kata Nazri Aziz hari ini.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata beliau sedia maklum dengan isu tersebut dimana pengecualian itu termasuk dalam Rang Undang-undang (RUU) Cukai Pelancongan dibentangkan April lalu.
“Itu semua kita sudah ambil kira masa pembentangan RUU Cukai Pelancongan 2017, ada peruntukan yang memberi pengecualian kepada mereka.
“Dan semasa perjumpaan dengan kumpulan Malaysian Inbound Tourism Association (Mita), isu tersebut dibangkitkan dan kita maklum mereka akan dikecualikan dan hanya akan dikenakan cukai bermula 1 April 2018, ” katanya pada sidang media di Matic, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Mita berkata kementerian pelancongan bersetuju memberikan insentif kepada agensi pelancongan yang mempunyai tempahan awal dimana kontrak hanya akan berakhir pada 31 Mac 2018.
Presidennya Uzaidi Udanis berkata, insentif tersebut menyaksikan mereka bakal menanggung kerugian dianggarkan RM2.7 juta untuk tempahan awal bagi pasaran China akibat pelaksanaan cukai pelancongan yang sepatutnya bermula pada 1 Ogos ini.
Sehubungan itu, Nazri menyarankan kepada agensi pelancongan yang berdepan dengan isu tersebut menulis untuk memohon pengecualian kepada kementeriannya.
Pelaksanaan cukai pelancongan yang mencetuskan kontroversi sepatutnya bermula pada 1 Julai namun ditangguhkan kepada 1 Ogos ini.
Ini kerana sistem cukai tersebut yang masih tidak lengkap, kata menteri itu.
Cukai pelancongan akan mengikut empat kategori dimana bagi hotel lima bintang caj dikenakan sebanyak RM20, empat bintang RM10, tiga bintang RM5 dan hotel dua bintang ke bawah ialah RM2.50.
Namun, rakyat Malaysia akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pelancongan sekiranya menginap di hotel bertaraf tiga bintang. – 6 Julai, 2017.
Komen