Agensi pelancongan bakal terima insentif kurangkan kerugian


Diyana Ibrahim

INSENTIF khas bakal diberikan kepada agensi pelancongan bagi mengurangkan kerugian ekoran daripada pelaksanaan cukai pelancongan dijangka bermula pada 1 Ogos ini, kata Malaysian Inbound Tourism Association (Mita) hari ini.

Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, ia diputuskan pada pertemuan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz pada Selasa lalu, dan insentif itu termasuklah pengembalian wang tunai atau bantuan lain seperti baucer.

Agensi pelancongan di bawah Mita katanya menganggarkan kerugian sebanyak RM2.7 juta daripada pelancong China yang membuat tempahan pelancongan tahun ini selepas cukai itu dilaksanakan pada 1 Ogos, katanya. Ia termasuk tempahan sehingga 31 Mac 2018.

“Berdasarkan kajian, sebahagian pasaran di China yang mana sudah ada tempahan awal dibuat, kita jangkakan kerugian sebanyak RM2.7 juta, jika tiada kalau insentif kita terpaksa tanggung dengan duit sendiri.

“Malah kita juga akan berdepan dengan masalah tempahan awal kerana kontrak kita dengan operator tidak boleh diubah sehingga 31 Mac 2018,” katanya pada sidang media di  MATIC, Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama beliau turut menyifatkan pertemuan dengan menteri tersebut amat positif berdasarkan pencerahan yang diberikan.

“Sebelum ini kita tidak jelas dengan mekanisme namun apabila diterangkan oleh menteri mengenai mekanisme cukai pelancongan sebagai contoh akan disalurkan untuk promosi.

“Jadi kita berpendapat cukai pelancongan merupakan langkah yang wajar sekiranya kita mahu memajukan industri pelancongan.” 

Pelaksanaan cukai berkenaan dijadualkan berkuatkuasa pada 1 Julai, namun ditangguhkan kepada 1 Ogos.

Rakyat Malaysia dikenakan cukai di mana bagi hotel lima bintang caj dikenakan sebanyak RM20, empat bintang RM10, tiga bintang RM5 dan hotel dua bintang ke bawah ialah RM2.50.

Namun mereka dikecualikan daripada cukai pelancongan sekiranya menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

Pelancong asing dikenakan caj yang sama iaitu RM10 untuk tiga bintang, RM5 untuk dua bintang dan RM2.50 untuk bilik yang tidak diberi penilaian. – 6 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen