EcoBit tidak bekerjasama dengan agensi pembangunan PBB


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Lawatan The Malaysian Insight ke alamat tertera dalam laman sesawang Climate Protectors di B5 Plaza Mont Kiara tidak menemui pejabatnya. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Julai, 2017.

PROGRAM Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia menafikan terdapat sebarang kerjasama dengan EcoBit, yang menggunakan logo UNDP tanpa kebenaran pihak mereka.

Menurut Penganalisis Komunikasi UNDP Ahmad Hafiz Osman, tiada projek UN-REDD atau UNFCC yang meluluskan projek REDD+  di Malaysia.

REDD+ merupakan mekanisma yang diusahakan PBB dalam mengurangkan pelepasan daripada sektor perhutanan yang dikenali sebagai Pengurangan Pelepasan daripada Penebangan Hutan dan Kemerosotan Hutan.

Bagaimanapun, logo tersebut sudah pun dikeluarkan daripada laman sesawang Ecobit beberapa hari sebelum UNDP mengeluarkan kenyataan agar logo UNDP tidak digunakan syarikat tersebut.

EcoBit merupakan syarikat yang menawarkan peluang pelaburan berasaskan “cryptocurrency” atau mata wang digital.

Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan syarikat teknologi hijau Climate Protectors Sdn Bhd. melalui Perjanjian Memorandum (MoA) dengan kerajaan Kelantan pada 9 Januari 2017.

“Sehingga hari ini, kami tidak dimaklumkan oleh mana-mana agensi PBB yang bekerjasama dengan Ecobit.

“Dengan itu, penggunaan logo PBB dan agensinya tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Dalam perjanjian tersebut, kerajaan negeri Kelantan memberikan kelulusan kepada Climate Protectors untuk menguruskan 25% jumlah keseluruhan tanah negeri walaupun syarikat itu tidak diberikan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk beroperasi.

Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Dimana lokasi Climate Protectors?

Tinjauan The Malaysian Insight ke alamat pejabat yang terdapat di laman sesawangnya di Plaza Mont Kiara mendapati pejabat di bawah “Climate Protectors” tidak wujud.

Penyambut tetamu syarikat itu pula enggan mendedahkan alamat sebenar mereka. Sebaliknya meminta menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Tang Too Siah yang juga merupakan ahli lembaga penasihat EcoBit.

Tang ketika dihubungi berkata syarikatnya akan mengeluarkan satu kenyataan media esok.

“Kami baru selesai mesyuarat dengan exco Kelantan. Kami akan keluarkan satu kenyataan esok,” katanya.

Climate Protector dilaporkan sebagai “syarikat kredit karbon” pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya ialah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD)”.

Awal hari ini, kerajaan Kelantan enggan menjawab semua pertanyaan yang dibangkitkan pengkritik mengenai perjanjian karbon negeri itu.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sebaliknya menafikan dakwaan dalam  media sosial yang kerajaan negeri mengarahkan syarikat termasuklah Climate Protector untuk mengutip wang bagi membiayai projek perdagangan karbon itu.

Bagaimanapun lima bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan Kelantan itu bercanggah dengan syarat ditetapkan PBB.

Sebelum ini, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) SM Mohamed Idris berkata yang urus niaga imbangan karbon hutan Kelantan itu membentuk tulang belakang tawaran duit syiling EcoBit.

Katanya lagi, EcoBit mengelirukan dengan mekanisme REDD dan UNFCC dengan mempromosikan “projek pemuliharaan hutan REDD+ terbesar dunia”. – 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen