Kelantan perlu jelaskan kerjasama dengan Climate Protectors


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Presiden Sahabat Alam Malaysia SM Mohamed Idris berkata EcoBit mengelirukan dengan mekanisme REDD dan UNFCC dengan mempromosikan “projek pemuliharaan hutan REDD+ terbesar dunia”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2017.

KERAJAAN negeri Kelantan perlu menjelaskan perjanjian yang ditandatangani dengan syarikat teknologi hijau Climate Protectors Sdn Bhd, kerana syarikat itu didakwa ada kaitan dengan skim pelaburan yang meragukan.

Berdasarkan kepada penyelidikan kumpulan itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) SM Mohamed Idris berkata Ketua Pegawai Eksekutif Climate Protectors Tang Too Siah juga ahli lembaga penasihat EcoBit, syarikat yang menawarkan peluang pelaburan berasaskan “cryptocurrency” atau mata wang digital.

Mohamed berkata EcoBit mengelirukan dengan mekanisme REDD dan UNFCC dengan mempromosikan “projek pemuliharaan hutan REDD+ terbesar dunia”.

REDD-plus merupakan mekanisme diusahakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor perhutanan yang dikenali sebagai Pengurangan Pelepasan daripada Penebangan Hutan dan Kemerosotan Hutan.

“Berdasarkan penyelidikan SAM, EcoBit dikaitkan dengan Climate Protector, syarikat yang menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada Januari lalu.

“Urus niaga imbangan karbon hutan Kelantan itu membentuk tulang belakang tawaran duit syiling EcoBitintial.

“Berikutan perjanjian itu, gambaran salah terlibat dalam mempromosikan urus niaga itu sebagai mekanisme diusahakan PBB, apabila ia sebenarnya bukan demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Climate Protectors memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada 9 Januari bagi tempoh 30 tahun.

Pada 26 Jun, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengumumkan projek perniagaan karbon bertaraf dunia diluluskan kepada Climate Protectors walaupun BNM menamakan syarikat itu dalam senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Idris berkata SAM menggesa BNM meneruskan siasatan yang sewajarnya untuk melindungi pengguna serta usaha kerajaan mendapatkan bantuan kewangan antarabangsa bagi inisiatif REDD-plus.

“Kerajaan negeri dan orang ramai mestilah berhati-hati dengan skim yang meragukan atas nama ‘melindungi alam sekitar dan menangani perubahan iklim’, katanya.

Tang dalam responsnya kepada The Malaysian Insight berhubung status syarikatnya Climate Protectors yang dinamakan BNM dalam senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada Jun 23, berkata pihaknya tidak tahu kenapa ia tersenarai.

“Kami juga tidak pasti mengapa (berada dalam senarai). Kami baru saja tahu mengenainya semalam (Isnin). Kami mahu adakan perbincangan dengan BNM untuk mendapatkan penjelasan.

“Kami akan menelitinya. Wakil peguam kami akan cuba menetapkan perjumpaan untuk penjelasan apa yang terjadi,” katanya.

Climate Protector dilaporkan sebagai “syarikat kredit karbon” pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya ialah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD)”.

Bagaimanapun, lima bulan lalu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan itu bercanggah dengan syarat ditetapkan PBB.

Wan Junaidi turut meminta semua kerajaan negeri mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD dari Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD. – 5 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen