PILIHAN raya kecil (PRK) pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjawab beberapa persoalan tentang hala tuju undi Melayu dalam tempoh lima tahun akan datang, kata penganalisis politik.
Adakah kepimpinan baru Umno dapat menggemblengkan sokongan akar umbinya atau adakah pendedahan kemewahan Najib Razak akan melumpuhkan jentera parti itu?
Adakah sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) akan melonjak selepas Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya kini memegang kunci kuasa di Putrajaya?
Walaupun keputusan PRK Sungai Kandis tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kerajaan negeri Selangor, ia boleh jadi petunjuk apakah Umno masih boleh menggenggam sokongan Melayu di akar umbi.
Pilihan raya Sungai Kandis dijangka akan diadakan dalam masa dua bulan selepas wakil rakyatnya Shuhaimie Shafie daripada PKR meninggal dunia akibat kanser pada Isnin lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat Isnin depan untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Dalam pilihan raya yang lepas, Shuhaimie yang meraih 23,998 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Kamaruzzaman Johari yang mengumpulkan 11,518 undi, dengan 12,480 undi. Calon PAS Mohd Yusof Abdullah mendapat 7,573 undi manakala calon PRM Hanafiah Husin hanya dapat 76 undi.
“PRK ini tidak akan jadi cabaran buat kerajaan negeri Selangor sebaliknya ia ujian untuk Umno yang mempunyai barisan kepimpinan baru,” kata Pengarah Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.
Pada hujung minggu lepas, Umno memilih bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden baru parti itu. Beliau mengalahkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Penganalisis politik di Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, PRK itu juga akan jadi ujian apakah Umno boleh mempertahankan sokongan Melayunya.
“Umno akan kehilangan sokongan kerana skandal Najib telah ditelanjangkan selepas pilihan raya.
“Pemilihan Umno baru-baru ini juga menunjukkan tidak ada harapan untuk pembaharuan dan penyegaran dalam parti setelah perwakilan memilih pemimpin yang konservatif,” kata Wong.
Beliau menambah pendakwaan ke atas Najib semalam hanya akan mengesahkan apa yang sudah disyaki oleh banyak pengundi.
Najib dituduh dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu, BN yang kini dikuasai oleh Umno, berkata PH menang hanya kerana sokongan bukan Melayu.
Sabtu lalu, Najib juga berkata, orang Melayu kini tidak boleh berharap kepada kerajaan PH untuk membela nasib mereka.
“Ini kerana kekuatan parti Melayu mereka (Bersau dan Amanah) datang dari sokongan orang bukan Melayu,” tulis Najib di Facebook, mengulas barisan baru kepimpinan Umno.
Keputusan PRK Sungai Kandis juga boleh menunjukkan di manakah duduknya sokongan Melayu selepas PRU14, kata pensyarah Universiti Islam Antabangsa Malaysia, Prof Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar.
“Sungai Kandis jadi kerusi majoriti Melayu selepas persempadanan semula yang lepas. Ia diatur untuk Umno tetapi tidak menjadi.
“Melihatkan pada keadaan sekarang ketika PH mempunyai kerajaan yang lebih kuat, adakah pengundi akan mengikut arus atau mahukan pembangkang yang lebih kuat pula di negeri itu?” tanya Tunku Mohar.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dibentuk oleh 70% oengundi Melayu, 16% India dan 12% Cina.
Dalam pilihan raya umum lepas, PH menang 51 daripada 56 kerusi negeri di Selangor. Baki lima kerusi dimenangi oleh BN (4) dan PAS (1).
Kedudukan PAS
PRK ini juga akan jadi ujian apakah kepimpinan baru Umno akan menjalin kerjasama dengan PAS.
“Memandangkan kedua-dua parti dapat undi yang lebih sedikit berbanding calon PH, Umno dan PAS perlu bekerjasama.
“PRK ini akan menunjukkan apakah PAS mahu meneruskan strategi tiga penjurunya atau bertolak ansur dengan Umno untuk bersetuju menghantar seorang saja calon melawan PH,” kata Hisomuddin.
Wong bagaimanapun tidak fikir akan ada pertembungan satu lawan satu di Sungai Kandis kerana baik Umno mahupun PAS, kedua-duanya tidak boleh nampak mengalah.
“Zahid perlu tunjukkan beliau relevan manakala PAS juga perlu tunjukkan mereka ada pengaruh di pantai barat. Tetapi jika mereka bergabung, undi mungkin akan memihak pada calon pembangkang,” kata Wong.
Dalam PRU14, walaupun berdepan kemungkinan kalah semua kerusi, PAS turun bertanding tiga penjuru dengan meletakkan calon di 158 kerusi Dewan Rakyat dan 393 kerusi negeri.
PAS menang 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Di Selangor, PAS hanya dapat mempertahankan satu daripada 13 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU13. – 5 Julai 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan