Bapa saya tentu bangga, kata menteri baharu Mujahid


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Muhahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2018.

BILA ditanya kepada Dr Muhahid Yusof Rawa apa rasanya berada dalam kerajaan, dan kini dilantik pula menjadi menteri, beliau akan selalu mengenang allahyarham bapanya, Yusof Rawa.

“Saya pasti beliau akan bangga melihat negara ini dalam keadaan baik dan saya menjadi antara barisan pemimpin.

“Sebagai anak, saya mahu mencium tangannya dan memeluknya jika beliau masih ada. Saya akan menziarahi kuburnya,” kata Mujahid, anak bongsu Yusof daripada 11 adik-beradik.

Yusof meninggal dunia pada 2000 dan tidak berpeluang melihat kecemerlangan anaknya dalam politik.

Mujahid dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.

Mujahid berkata beliau berharap dapat melaksanakan idea perubahannya, untuk cuba menenangkan ketegangan agama antara masyarakat Islam dan bukan Islam, di dalam dan luar negara.

Katanya, beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai model negara membangun yang progresif dan inklusif, untuk memerangi kebencian dan prejudis di tempat lain di seluruh dunia.

“Semua idea yang saya tulis, cara untuk Malaysia maju, perlu dijadikan dasar dan amalan.

“Sebagai negara Islam, Islamofobia dan tanggapan buruk dunia terhadap Islam perlu ditangani secara politik, dan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya dengan rendah diri menerima jawatan ini dan berharap institusi Islam di Malaysia boleh dijadikan model terbaik di dunia.

“Saya sedia menyahut cabaran itu,” katanya.

Mujahid, 53, yang juga ahli Parlimen Parit Buntar bagi tiga penggal, berkata beliau selalu bercita-cita mahu melihat negara ini menjadi hebat dan ada impian untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi tidak sangka ia secepat ini.

“Rasanya hebat. Saya rasa terharu dan juga terbeban dengan tanggungjawab. Kemenangan bukan milik kami. Rakyat yang menjadikan ia satu kenyataan,” katanya yang juga naib presiden Amanah.

Perjalanan sukar dan panjang ke Putrajaya

Anak kelahiran Pulau Pinang itu antara pemimpin yang progresif dalam PAS. Beliau memperkenalkan slogan “PAS untuk semua” pada pemilihan pada 2013, yang melembutkan imej parti Islam itu dan akhirnya mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Beliau antara pemimpin PAS yang mengembara ke seluruh negara, mengadakan dialog dengan masyarakat Kristian di gereja-gereja, walaupun pada ketika hubungan antara umat Islam dan bukan Islam tegang kerana isu kalimah Allah.

Di sebalik kerja keras antara agama yang dilakukan oleh Mujahid dan usaha pemimpin terkemuka lain seperti bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, cita-cita hudud PAS membawa kepada perpecahan dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Pada 2015 PAS memutuskan hubungan DAP dan menyingkirkan semua pemimpinnya yang dilihat progresif menerusi pemilihan parti, termasuk Mat Sabu dan Mujahid.

Pemimpin-pemimpin progresif itu kemudian keluar PAS dan menubuhkan Amanah pada September 2015. Parti serpihan itu kini parti dalam kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

Mujahid berkata bapanya sudah pasti akan mengingatkan supaya sentiasa merendah diri dan berpegang kepada prinsip percaya dan menunaikan janji.

“Sepanjang kerjaya politik saya, saya melihat momen sedih dan gembira, mengalami kekalahan dan kemenangan, selain serangan peribadi dan kempen yang memburukkan saya.

“Tetapi isteri saya, anak-anak dan abang serta kakak saya sentiasa di sisi saya. Mereka jatuh bangun bersama saya,” katanya.

Kini PH di Putrajaya, perjuangan berterusan untuk Mujahid dan partinya, tetapi dalam cara yang berbeza.

“Pegangan Amanah kepada nilai Islam keadilan dan kebebasan akan sentiasa menjadi kekuatannya.

“Kami mungkin hanya ada sedikit ahli Parlimen dan ADUN tetapi kami menjangkakan kecemerlangan dan menjadi contoh kepada rakyat.” – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen