BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengemukakan bukti sekiranya dihalang berjumpa dengan pelajar dari luar negara, gesa Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara.
Pengerusinya, Wan Md Hazlin Agyl berkata Dr Mahathir tidak seharusnya menuduh tanpa asas dan bersifat retorik.
“Saya tidak nampak bukti yang mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghalang pelajar luar negara untuk tidak berjumpa pemimpin pembangkang.
“Jadi untuk mengatakan pemimpin BN tidak benarkan pelajar jumpa Tun M, saya rasa mungkin satu kenyataan yang tidak ada asas.
Beliau mengulas kenyataan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa dihalang berjumpa pelajar Malaysia di luar negara untuk bertemunya semasa berada di London.
Pelajar berkenaan katanya diberi amaran agar tidak menemui pemimpin pembangkang atau berdepan risiko biasiswa ditarik.
Namun Wan Md Hazlin menafikan dakwaan biasiswa pelajar bakal ditarik sekiranya berjumpa pemimpin pembangkang.
“Kalau tengok daripada segi syarat biasiswa, tidak ada dalam syarat kamu jumpa pembangkang dan tarik biasiswa.
“Jadi ini mungkin retorik yang kita tidak tahu mana datang. Kalau Tun M ada bukti, saya alu-alukan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau turut menegaskan perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pelAajar diberi kebebasan untuk bersifat terbuka.
“Pada zaman saya contohnya, diluar negara kami terbuka berjumpa mana-mana pemimpin termasuklah BN mahupun pembangkang. Pelajar luar negara sepatutnya lebih bersifat terbuka menilai mana baik dan buruk.
“Kalau ada bukti silakan. Kalau tiada bukti saya cadangkan supaya ianya tidak diperbesarkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju sekiranya benar dakwaan Dr Mahathir.
“Saya juga tidak menyokong sebarang larangan kerajaan terhadap pelajar luar negara. Pemuda dan pelajar luar negara hari ini bersifat terbuka.
“Kita didedahkan sosial media dunia tanpa sempadan dan kita adalah golongan terpelajar dalam atau luar negara. Jadi sifat keterbukaan itu perlu ada. – 3 Julai, 2017.
Komen